Alih Tiang Gol: Kontroversi Kenyataan Anwar Tentang Israel

Kuala Lumpur, 16 November 2024 – Kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai Israel semasa temu bual bersama wartawan CNN Richard Quest di Lima, Peru, terus mencetuskan perdebatan hangat. Kontroversi ini timbul apabila jawapan Perdana Menteri mengenai isu Israel dilihat bertentangan dengan pendirian tradisional Malaysia yang tidak mengiktiraf negara itu.

Ketua Penerangan Parti Pejuang, Rafique Rashid, mendakwa terdapat cubaan “alih tiang gol” oleh Perdana Menteri dan jurucakap kerajaan dalam menjelaskan isu tersebut kepada rakyat Malaysia. “Shifting the goal post ini taktik mudah untuk lari dari realiti bila seseorang itu tidak ada alasan lain,” tegas Rafique.

Menurut Rafique, soalan Richard Quest kepada Perdana Menteri adalah jelas dan ringkas, tanpa memerlukan tafsiran berlapis. Quest bertanya dua soalan utama: “Anda terima Israel berhak untuk wujud?” dan “Anda terima Israel berhak mempertahankan diri?”. Rafique menegaskan, soalan ini tidak berkaitan dengan kewujudan fizikal Israel sebagai sebuah negara tetapi mengenai hak Israel, yang menurut beliau, merupakan asas untuk rejim itu mencari legitimasi global.

“Sebagai penjajah, mana ada hak mempertahan diri? Israel adalah terrorist state. Tiada hak langsung,” ujar Rafique, menyentuh isu asas yang sering menjadi garis pertikaian dalam konflik Palestin-Israel.

Lebih membingungkan, kata Rafique, adalah kenyataan jurucakap kerajaan, termasuk Menteri Komunikasi, yang mendakwa video temu bual tersebut telah disunting atau diedit. “Bagaimana pula dengan status perkembangan siasatan oleh SKMM mengenai video itu? Sudahkah pakar-pakar forensik dipanggil untuk analisa ketulenan video tersebut?” soalnya.

Beliau turut mempersoalkan mengapa penjelasan Perdana Menteri tentang isu ini hanya diberikan dalam bahasa Melayu, sedangkan temu bual asal yang tersebar luas di seluruh dunia menggunakan bahasa Inggeris. “Video CNN itu berbahasa Inggeris, difahami seluruh dunia. Penjelasan alih tiang gol pula dalam bahasa Melayu untuk tontonan warga tempatan,” katanya.

Dasar Malaysia terhadap Israel, tambah Rafique, tidak pernah berubah. “Malaysia tidak pernah memberikan hak pada Israel,” tegasnya. Bagaimanapun, beliau mengingatkan kerajaan agar lebih konsisten dalam memberikan penjelasan kepada rakyat dan tidak bersikap hipokrit.

Nasihat Rafique ringkas: “Hentikan sifat hipokrit dan alihkan kesalahan dengan pelbagai alasan. Mengata dulang paku serpih, mengata orang awak yang lebih.”

Isu ini jelas menunjukkan betapa sensitifnya pendirian Malaysia terhadap Israel di mata rakyat dan masyarakat antarabangsa. Kepimpinan kerajaan kini dituntut untuk memberikan penjelasan yang tuntas dan selari dengan pendirian negara yang selama ini tidak mengiktiraf Israel sebagai negara berdaulat.

Leave a Reply