ALOR SETAR, 14 Mac – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tidak perlu mencampuri urusan dalaman UMNO berkaitan usaha menyatupadukan bekas ahli parti itu melalui inisiatif “Rumah Bangsa”.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid, berkata beliau hairan dengan sikap Sanusi yang juga Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat dan Perikatan Nasional (PN), yang menurutnya sering mengulas mengenai UMNO berbanding memberi tumpuan kepada urusan partinya sendiri serta tanggungjawab sebagai Menteri Besar Kedah.
Menurut Mahdzir, konsep Rumah Bangsa yang diperkenalkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, bertujuan mengajak bekas ahli UMNO kembali bersama parti itu serta menjadi platform penyatuan orang Melayu.
“Rumah Bangsa itu adalah mekanisme penyatuan Melayu dan ruang perbincangan mengenai isu kepentingan bangsa seperti pendidikan, hak Bumiputera serta ekonomi.
“Tetapi kenapa Sanusi sibuk hendak mengulas perkara itu sedangkan beliau sebenarnya tidak perlu campur tangan dalam urusan UMNO,” katanya dalam satu kenyataan kepada media.
Kenyataan itu dibuat sebagai respons kepada kenyataan Sanusi sebelum ini yang menyifatkan inisiatif Rumah Bangsa sebagai usaha UMNO untuk kembali menjadi ‘abang besar’ dalam politik Melayu.
Mahdzir menyifatkan kenyataan tersebut sebagai mencerminkan politik sentimen kebencian yang menurutnya tidak membantu usaha penyatuan bangsa.
“Sebagai pemimpin yang kononnya dari parti Islam, beliau tidak sepatutnya menyebarkan sentimen kebencian kerana itu bukan akhlak dalam Islam, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan,” katanya.
Tambah beliau, ajaran Islam jelas menggalakkan penyatuan dan menolak perpecahan sesama umat.
Dalam masa sama, Mahdzir turut menegur sikap Sanusi yang menurutnya sering mengeluarkan kenyataan bersifat sindiran dan tuduhan terhadap pemimpin UMNO.
“Saya sebenarnya jarang bercakap mengenai beliau, tetapi beliau sudah terlalu banyak mengata sehingga terpaksa saya bersuara.
“Dia ego, merasakan dirinya terlalu kuat dan tidak boleh dikalahkan di Kedah sehingga bebas memperli dan memaki orang sesuka hati.
“Jangan ingat negeri Kedah ini hak dia seorang sahaja,” tegas Mahdzir.
Beliau turut mendakwa Sanusi sengaja membangkitkan pelbagai isu berkaitan UMNO bagi menutup kelemahan pentadbirannya sebagai Menteri Besar Kedah.
Mahdzir turut mempersoalkan dakwaan Sanusi sebelum ini mengenai seorang bekas wakil rakyat di Kuala Nerang yang didakwa memiliki tanah seluas 300 ekar.
Menurut beliau, kenyataan tersebut menimbulkan persoalan kerana terdapat enam bekas wakil rakyat Kuala Nerang yang masih hidup termasuk dirinya sendiri.
“Sanusi kata perkara itu ditujukan kepada siapa? Jangan menuduh semua orang tanpa asas. Ini bulan puasa, tak perlulah nak mengata orang,” katanya.
Dalam pada itu, Mahdzir turut menolak tuduhan Sanusi yang mendakwa UMNO hanya mencari orang Melayu ketika terdesak tetapi mendekati DAP ketika berada dalam kedudukan kuat.
Menurutnya, PAS sendiri pernah bekerjasama rapat dengan DAP sebelum ini demi meraih sokongan politik.
“Sanusi jangan lupa PAS pernah bersama DAP dalam Barisan Alternatif dahulu, malah ada yang mengangkat pemimpin DAP seperti Khalifah Umar Abdul Aziz.
“UMNO tidak pernah bekerjasama dengan DAP dan penyertaan dalam Kerajaan Perpaduan adalah atas prinsip menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong demi kestabilan politik negara,” katanya.

MahdzirKhalid #SanusiMdNor #UMNO #RumahBangsa #PolitikMalaysia #IsuKedah #PerpaduanMelayu #BeritaAAC #PolitikSemasa #MalaysiaPolitik