KUALA LUMPUR — Sambutan ulang tahun ke-80 UMNO yang bermula hari ini menyaksikan pelbagai program diatur selama dua hingga tiga hari, dengan penekanan kepada usaha muhasabah diri serta merangka hala tuju baharu parti demi memenuhi aspirasi rakyat.
Ketua Penerangan Wanita UMNO, Rosni Zahari berkata UMNO sebagai sebuah “parti keramat” telah melalui lapan dekad perjuangan yang penuh dengan pelbagai fasa penting dalam sejarah negara.
Menurut beliau, perjalanan UMNO bermula dengan kebangkitan menentang Malayan Union, diikuti perjuangan menuntut kemerdekaan dan seterusnya mengisi kemerdekaan melalui dasar pembangunan termasuk pelaksanaan Dasar Ekonomi Baharu.
“UMNO juga pernah melalui zaman kegemilangan, namun dalam tempoh itu timbul cabaran berkaitan integriti dan kredibiliti yang perlu ditangani.
“Selain itu, parti turut berdepan dengan defisit sokongan rakyat sehingga menyebabkan kekalahan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 dan kehilangan kuasa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sempena program sambutan ulang tahun ke-80 UMNO di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Rosni berkata selepas kehilangan kuasa, UMNO melalui fasa sebagai pembangkang sebelum kembali menjadi sebahagian daripada kerajaan meskipun tanpa majoriti, melalui pembentukan Kerajaan Perpaduan hasil kebijaksanaan kepimpinan negara.
Sehubungan itu, beliau menegaskan bahawa kematangan UMNO sebagai parti politik terserlah melalui keupayaannya untuk bermuhasabah dan menilai semula kekuatan serta kelemahan.
“Kita perlu mengenang sejarah sebagai nostalgia, tetapi yang lebih penting adalah bergerak ke hadapan dengan memahami kehendak rakyat hari ini.
“Selagi UMNO mengambil kira pandangan semua lapisan masyarakat, Insya-Allah parti ini mampu bangkit semula,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa antara pengisian utama sambutan kali ini termasuk Konvensyen Pendidikan yang diadakan hari ini, diikuti Konvensyen UMNO pada 2 Mei.
Bagi sayap Wanita UMNO pula, pelbagai program turut disusun termasuk pertandingan nasyid pada sebelah pagi serta forum “Voices of Her” yang berlangsung di ruang legar WTCKL pada sebelah petang.
Orang ramai dijemput hadir bagi mengikuti pelbagai pengisian yang disediakan sepanjang sambutan tersebut.
Sambutan ulang tahun ke-80 UMNO kali ini dilihat bukan sekadar memperingati sejarah panjang parti itu, malah menjadi platform penting untuk memperkukuh semangat dan merangka strategi baharu dalam menghadapi landskap politik semasa.