KUALA LUMPUR, 19 November 2024 – Nasib 400 keluarga pekebun kecil di Sri Iskandar kini berada dalam keadaan terdesak apabila mereka diarahkan meninggalkan tanah yang mereka usahakan sejak 2006. Lebih malang, tanaman yang menjadi sumber pendapatan utama keluarga ini telah dimusnahkan oleh sebuah syarikat pemaju, mencetuskan kerugian besar dan kehilangan punca rezeki.

Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) yang mewakili pekebun kecil itu mendedahkan bahawa arahan pengosongan dan pemusnahan tersebut timbul daripada perjanjian yang didakwa tidak sah. “Perjanjian ini dibuat secara peribadi oleh individu tertentu tanpa persetujuan rasmi Ahli Lembaga Koperasi dan bertentangan dengan peraturan koperasi,” kata Setiausaha Agung MHO, Dato’ Hishamuddin Hashim dalam satu sidang media nya hari ini.

Menurut Setiausaha Agung MHO, koperasi tersebut ditubuhkan bagi meneroka tanah dan mendapatkan geran kelompok. Pekebun kecil itu telah melabur wang sendiri untuk mengusahakan tanaman kelapa sawit di atas tanah tersebut. Hasil usaha mereka berjaya menghasilkan tanaman sawit yang subur dan memberangsangkan. Namun, tanpa sebarang notis atau rundingan, tanah itu didakwa telah diserahkan kepada syarikat pemaju oleh pihak agensi kerajaan negeri.

“Meskipun notis bantahan telah dihantar kepada syarikat pemaju, tindakan mereka tetap berterusan. Tanaman pekebun diratakan dan dimusnahkan, meninggalkan keluarga ini tanpa punca pendapatan,” tambah Hishamuddin. Situasi ini menimbulkan keresahan kerana ia melibatkan kelangsungan hidup hampir 400 keluarga Bumiputera di kawasan tersebut.

Dalam sidang media yang diadakan baru-baru ini, MHO bersama pekebun kecil itu mendesak kerajaan negeri Perak untuk segera campur tangan. Mereka memohon supaya tindakan pemusnahan dihentikan serta satu perbincangan telus diadakan bagi mencari penyelesaian adil.

“Kami juga mendesak siasatan menyeluruh dilakukan terhadap dakwaan bahawa perjanjian dibuat tanpa mesyuarat agung koperasi dan tanpa resolusi rasmi. Tindakan seperti ini jelas menyalahi undang-undang dan mencabuli hak pekebun kecil,” tegas Hishamuddin.

Menurut salah seorang pekebun, mereka kini menghadapi masa depan yang tidak menentu. “Ini bukan sekadar isu tanah, tetapi tentang survival kami. Tanaman yang dimusnahkan adalah hasil titik peluh kami selama bertahun-tahun,” katanya.

MHO menegaskan bahawa pihaknya komited membantu pekebun kecil ini untuk memastikan keadilan ditegakkan. “Pekebun kecil ini adalah rakyat Perak yang memerlukan pembelaan. Kami berharap kerajaan negeri dan pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera untuk menyelesaikan isu ini,” kata Hishamuddin

Leave a Reply