KUALA LUMPUR, 18 November 2024 – Ketua Pergerakan Wira PUTRA Malaysia, Nasrul Ali Hasan bin Abdul Latif, hari ini menggesa kepimpinan dan pengurusan tertinggi Universiti Teknologi MARA (UiTM) untuk mengambil langkah tegas menghalang usaha mendekati mahasiswa UiTM oleh DAP. Kenyataan ini susulan gesaan Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, dalam Kongres Kebangsaan DAPSY baru-baru ini agar Pemuda DAP mendekati pelajar institusi pengajian tinggi awam, termasuk UiTM.

Nasrul menyifatkan usaha DAP untuk mendekati mahasiswa UiTM sebagai ancaman kepada pemikiran generasi muda Melayu dan Bumiputera. Beliau menegaskan bahawa sejarah dan agenda perjuangan DAP yang bertentangan dengan hak serta pembangunan Melayu dan Bumiputera membuktikan tindakan ini perlu dicegah. “Agenda mendekati mahasiswa UiTM adalah ancaman terhadap minda generasi muda dan ini dapat dilihat melalui sejarah kepimpinan serta tindak tanduk mereka,” katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa pindaan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) tidak seharusnya dijadikan lesen untuk mana-mana pihak menyebarkan ideologi politik yang bercanggah dengan prinsip penubuhan UiTM. Walaupun AUKU kini membenarkan pelajar berpolitik, beliau mencadangkan hanya parti-parti politik yang sehaluan dengan kepentingan UiTM seperti UMNO, Amanah, serta parti dari Sabah dan Sarawak diberikan ruang di kampus.

Selain itu, Nasrul juga menyarankan supaya parti pembangkang seperti PUTRA turut diberi peluang mendekati mahasiswa. Ini menurutnya, bagi meraikan demokrasi berparlimen yang membenarkan kewujudan parti politik yang memperjuangkan hak Melayu dan Bumiputera. “UiTM bukan sahaja institusi pendidikan, tetapi benteng terakhir untuk melahirkan graduan profesional Melayu dan Bumiputera yang kompeten,” tambahnya.

Beliau turut menekankan bahawa UiTM adalah institusi penting untuk memupuk semangat kekitaan dalam kalangan Melayu sebagai kaum majoriti di Malaysia. Ia juga memainkan peranan penting dalam mempertahankan Kontrak Sosial yang menjadi asas pembentukan negara. Beliau menolak sebarang usaha DAP yang sering kali dilihat mencabar prinsip ini. “UiTM tidak perlu diganggu-gugat oleh pihak yang tidak menghormati Kontrak Sosial. Tindakan seperti ini hanya mencetuskan konflik dan merosakkan asas keharmonian negara,” tegas Nasrul.

Dalam kenyataannya, Nasrul turut menyeru perkenan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, selaku Canselor UiTM, untuk campur tangan bagi memastikan universiti ini bebas daripada doktrinasi yang bercanggah dengan maksud asal penubuhannya. Beliau percaya bahawa sokongan pihak istana amat penting dalam memastikan UiTM kekal sebagai institusi yang melindungi hak Melayu dan Bumiputera di Malaysia.

Beliau juga mengingatkan bahawa doktrinasi politik yang tidak sesuai boleh menghakis kepercayaan terhadap fungsi institusi pendidikan seperti UiTM. Oleh itu, Wira PUTRA menegaskan pentingnya UiTM kekal neutral daripada sebarang agenda politik yang bertentangan dengan objektif asal penubuhannya.

Nasrul menutup kenyataannya dengan menyeru agar semua pihak bersama-sama melindungi UiTM daripada sebarang pengaruh luar yang boleh menggugat keharmonian institusi tersebut. Beliau yakin UiTM mampu terus menjadi benteng mempertahankan hak Melayu dan Bumiputera jika ia dikelola tanpa campur tangan politik yang bertentangan.

Leave a Reply