PANDAN PERDANA, 20 November 2024 – Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) mengambil langkah drastik hari ini dengan merobohkan sebuah rumah sampah di Jalan Perdana 4/6, Pandan Perdana. Operasi ini dijalankan berikutan aduan penduduk tempatan yang terganggu dengan pencemaran dan bau busuk akibat pembuangan sampah tidak terkawal. Sidang media berhubung operasi ini diadakan di tapak kejadian, dengan kehadiran Ahli Majlis Zon 21, R. Moganraj a/l Renganathan, yang mewakili Ahli Dewan Negeri (ADN) Teratai, Yew Jia Haur.
Masalah pembuangan sampah yang berlarutan sekian lama telah menjadikan kawasan ini sebagai tumpuan sampah dari luar, termasuk sampah industri serta dari kawasan berdekatan seperti Maluri dan Cheras. Rumah sampah ini, yang asalnya dibina untuk kegunaan pasar pagi, telah menjadi lokasi pembuangan sampah secara tidak terkawal, menyebabkan pencemaran serius dan ketidakselesaan kepada penduduk setempat.
Keputusan merobohkan rumah sampah ini adalah langkah pemulihan yang diambil oleh MPAJ untuk mengembalikan kawasan tersebut kepada fungsi asalnya sebagai tempat letak kenderaan bagi pasar pagi. Pengurusan sampah di kawasan ini akan diserahkan kepada KDEB (Kumpulan Darul Ehsan Berhad), yang akan bertanggungjawab mengutip sampah dari peniaga pasar secara sistematik.
Menurut R. Moganraj, peniaga pasar diwajibkan meletakkan sampah dalam beg plastik yang diikat dengan kemas sebelum diangkut oleh KDEB. Perkhidmatan kutipan sampah akan dilakukan dua kali sehari, iaitu selepas tamat waktu perniagaan dan pada waktu awal pagi. Langkah ini diharapkan dapat mengurangkan longgokan sampah dan mencegah pencemaran di kawasan pasar.
Operasi ini melibatkan kerjasama empat jabatan utama MPAJ untuk memastikan kelancaran proses perobohan dan pengurusan semula kawasan tersebut. “Usaha ini mencerminkan komitmen pihak berkuasa tempatan untuk menyelesaikan masalah ini secara menyeluruh,” kata Moganraj ketika ditemui media disini hari ini.
Peniaga dan penduduk turut diingatkan mengenai tanggungjawab mereka untuk menjaga kebersihan kawasan. Mereka dikehendaki menyediakan tong sampah sendiri dan mematuhi peraturan yang ditetapkan. Pihak MPAJ akan mengeluarkan notis peringatan terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan ini.
Masalah ini bukanlah perkara baru. Menurut Moganraj, isu pembuangan sampah tidak terkawal di kawasan Pandan Perdana semakin meruncing selepas pandemik COVID-19. Pemantauan yang kurang semasa tempoh tersebut menyebabkan peningkatan sampah pukal, termasuk sampah dari restoran, yang dibuang secara haram.
Penduduk setempat menyambut baik tindakan tegas ini dan berharap langkah tersebut dapat membawa perubahan positif kepada kawasan mereka. “Kami mengharapkan kolaborasi erat antara pihak berkuasa dan komuniti untuk memastikan masalah ini tidak berulang,” tambah seorang penduduk yang hadir.
Operasi perobohan ini adalah bukti komitmen pihak berkuasa untuk menangani masalah kebersihan dengan lebih efektif. Dengan pengurusan sampah yang kini dikendalikan oleh KDEB dan sokongan masyarakat, kawasan ini diharapkan dapat kembali bersih dan teratur.