KUALA LUMPUR, 23 November 2024 – Festival Anak Sarawak dan Temasya Kueh Malaysia yang dianjurkan oleh Persatuan Kepimpinan Perintis Anak Sarawak dengan kerjasama Jabatan Muzium Malaysia, telah dirasmikan hari ini oleh YB Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara, di perkarangan Muzium Negara, Kuala Lumpur. Acara ini merupakan inisiatif Kementerian Perpaduan Negara (KPN) melalui program Friends of Unity yang bertujuan memperkukuh keharmonian antara komuniti melalui budaya.
Festival ini mengetengahkan keunikan etnik Sarawak seperti Iban, Bidayuh, Orang Ulu, Melayu Sarawak, Melanau, Cina, dan banyak lagi. Menurut Datuk Aaron, ia menjadi bukti bagaimana kekayaan budaya dapat berperanan sebagai alat penyatuan, sekali gus mencerminkan Sarawak sebagai model keharmonian dan kemakmuran yang boleh dicontohi seluruh negara.
“Festival ini bukan sekadar platform untuk meraikan keindahan warisan budaya, tetapi juga ruang untuk memperkukuhkan hubungan antara komuniti. Kita meraikan identiti kita sebagai satu keluarga besar rakyat Malaysia, menjadikan konsep Faham, Hormat, dan Terima sebagai kunci kejayaan perpaduan,” katanya dalam ucapan perasmiannya.
Sepanjang dua hari program ini berlangsung, pelbagai aktiviti disediakan bagi memeriahkan suasana. Antaranya termasuklah persembahan Melodi Irama Sarawak, permainan tradisional, pertunjukan sape, pameran arca ukir, serta dansa tari Sarawak. Pengunjung juga dapat menikmati hidangan tradisional menerusi acara Food Fest yang menampilkan pelbagai jenis makanan tempatan, termasuk kuih-kuih warisan dari seluruh Malaysia.
Selain itu, konsert anak muda yang menampilkan artis-artis terkenal tanah air turut diadakan, di samping pameran sejarah alat-alat pembuatan kuih tradisional yang memberikan peluang kepada masyarakat untuk mendalami seni pembuatan kuih secara tradisional. Bagi mereka yang menggemari aktiviti kecergasan, sesi Zumba Sarawak turut menjadi salah satu tarikan utama program ini.
Salah seorang pengunjung, Noraini Abdullah, menyatakan rasa teruja menghadiri festival ini bersama keluarga. “Ini peluang terbaik untuk kami sekeluarga memahami budaya Sarawak dan menikmati pelbagai hidangan serta aktiviti menarik,” katanya.
Festival ini juga memberi ruang kepada peniaga tempatan untuk memasarkan produk mereka melalui acara jualan pasar adat. Lebih istimewa, penganjuran festival di lokasi strategik seperti Muzium Negara memberi peluang kepada generasi muda untuk lebih memahami sejarah dan budaya Malaysia dalam suasana yang menyeronokkan.
Penganjur berharap festival ini bukan sahaja mengukuhkan semangat perpaduan, tetapi juga menjadi platform tahunan yang memperingati keunikan warisan budaya rakyat Malaysia. Festival Anak Sarawak dan Temasya Kueh Malaysia dibuka kepada orang ramai dari jam 8.00 pagi hingga 10.00 malam, bermula 23 November hingga 24 November 2024.