
KUALA LUMPUR, 22 Mei 2026 – Menyedari hakikat bahawa populariti dan pencapaian duniawi bersifat sementara, pelakon dan pengarah tersohor, Dato’ Haji Aaron Aziz kini melangkah ke fasa baharu dalam hidupnya dengan bergelar Pemilik Bersama dan Pengarah bagi agensi pelancongan terkemuka, KARVA Travel & Tours Sdn. Bhd.
Pelancaran rasmi KARVA Travel di Malaysia bukan sekadar satu cabang perniagaan, sebaliknya membawa misi spiritual yang besar terutamanya dalam menawarkan pengalaman Umrah premium yang inklusif, prihatin, dan dilengkapi sokongan perubatan menyeluruh.

Bagi Aaron dan isterinya, Datin Hajah Diyana Halik, perjuangan menyediakan ekosistem umrah yang mesra pesakit kronik adalah satu perkara yang amat dekat dengan hati mereka. Pengalaman peribadi menguruskan ahli keluarga terdekat yang menjalani rawatan Dialisis Peritoneal Ambulatori Berterusan (CAPD) membuka mata mereka tentang kesukaran yang dihadapi oleh segelintir jemaah.

“Pada usia mencecah 50 tahun, saya semakin memahami perjalanan hidup adalah satu amanah. Saya mahu menggunakan platform dan pengalaman yang ada untuk membawa lebih banyak kebaikan, mendekatkan diri kepada nilai Islamik serta berkongsi dakwah dengan cara yang positif dan penuh keikhlasan,” ujar Aaron ketika majlis pelancaran tersebut.
Menyedari ramai yang terhalang daripada menunaikan ibadah ekoran faktor kesihatan, KARVA Travel tampil sebagai Pakar Umrah Pertama Anda dengan menyediakan ketua rombongan yang terlatih dalam bidang perubatan. Agensi ini memberikan perhatian khusus kepada warga emas dan penghidap penyakit kronik termasuk mereka yang memerlukan bantuan mobiliti serta rawatan dialisis.

Keunikan Umrah Khas Wanita
Selain memfokuskan kepada aspek kesihatan, KARVA Travel dengan kerjasama Hayaa’ Network Pte. Ltd. turut memperkasakan golongan wanita menerusi program ikonik “Al Ladies Umrah by Ustazah Liyana Musfirah”. Program ini menggabungkan bimbingan hukum-hakam wanita secara intim dan pengisian emosi serta kesihatan mental yang dikendalikan oleh pakar psikoterapis, Maimunah Mosli.


Ditubuhkan di Singapura pada tahun 2022 di bawah teraju Haji Jai Wahab dan Hajah Rozza Ramli, agensi ini mengekalkan falsafah “Khidmat Dari Hati” menerusi pengurusan logistik yang tersusun, kumpulan jemaah yang lebih kecil untuk layanan peribadi, serta penginapan hotel premium bertaraf 4 dan 5 bintang yang dekat dengan Haramain.

Pakej Umrah pertama KARVA Travel Malaysia dijadualkan berlangsung pada 24 Jun hingga 4 Julai 2026 ini, dan turut dibuka penyertaannya kepada warga Singapura.
Bagi mereka yang ingin merasai kembara spiritual yang tenang dan teratur, maklumat lanjut boleh didapati dengan melayari laman web rasmi mereka di www.karvatravel.com/my.
#AaronAziz #KarvaTravelMY #UmrahPremium #HijrahAaronAziz #AATVNews