BANGI, 1 Disember 2024 – Adsia Academy sekali lagi mencipta kejayaan melalui seminar “Menguasai TikTok Untuk Perniagaan” yang berlangsung selama dua hari di Bangi Avenue Convention Centre (BACC). Program ini bertujuan memperkasakan usahawan kecil dan sederhana (SME) untuk menguasai strategi pemasaran digital menggunakan platform TikTok.

Seminar ini dihadiri oleh lebih 1,400 peserta dari seluruh Malaysia, termasuk Sabah, Sarawak, dan negara jiran seperti Indonesia. Acara ini turut mencatat sejarah apabila berjaya diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai seminar TikTok terbesar di Malaysia. Dengan sokongan rasmi daripada TikTok Asia Pasifik, program ini mendapat pengesahan daripada Jairus Ang, Agency Partner Manager TikTok Singapura, sebagai seminar TikTok terbesar di Asia Tenggara.

Rekod Kejayaan Adsia Academy

Menurut penganjur utama, Coach Abdul Aziz Mustapa Kamal (Aziz MK), seminar ini adalah kesinambungan daripada usaha Adsia Academy sejak penubuhannya pada 31 Mac 2023. “Kami telah membantu lebih daripada 70 syarikat SME mencapai jualan kolektif RM20 juta pada bulan Oktober lalu, menjadikan jumlah keseluruhan jualan sebanyak RM197 juta dari Januari hingga Oktober 2024,” katanya.

Sejak dilancarkan, Adsia Academy telah melatih lebih daripada 9,000 peserta, membuktikan keberkesanan program mereka dalam membantu usahawan menggunakan TikTok sebagai platform perniagaan yang strategik.

TikTok Sebagai Alat Transformasi Perniagaan

Dalam ucapannya, Aziz menekankan potensi TikTok bukan sahaja untuk mencipta interaksi (engagement) tetapi juga meningkatkan kadar penukaran (conversion) pembeli. “Antara pendekatan utama yang diajar ialah TikTok Ads, Livestreaming, dan TikTok Shop. TikTok bukan sekadar mengejar ‘For You Page’ (FYP), tetapi yang lebih penting adalah bagaimana tontonan mampu diterjemahkan kepada pembelian,” jelas beliau.

Tambah beliau, TikTok menawarkan peluang luar biasa kepada usahawan kecil untuk meningkatkan kesedaran jenama mereka dan bersaing di peringkat nasional serta global. Platform ini juga membantu meningkatkan pendapatan, khususnya bagi usahawan baharu.

Sorotan Program: Pencapaian Bersejarah

Acara ini menjadi lebih bermakna apabila Adsia Academy mencipta rekod baharu dengan mengadakan sesi TikTok perniagaan terbesar di Malaysia, yang melibatkan 1,473 pendaftaran dan 913 peserta siaran langsung TikTok. Pencapaian ini diiktiraf oleh MBOR sebagai satu kejayaan luar biasa dalam mempromosikan TikTok sebagai alat pemasaran.

Testimoni Peserta dan Kolaborasi TikTok

Peserta seminar memberikan maklum balas positif terhadap program ini. Mereka menyifatkan seminar ini sebagai panduan yang tepat dalam memahami selok-belok pemasaran digital, khususnya di TikTok. Kerjasama erat dengan TikTok Asia Pasifik sebagai penaja utama menjadikan program ini lebih berprestij.

Komitmen Adsia Academy

Aziz menegaskan bahawa Adsia Academy komited membantu usahawan SME meneroka potensi digital dengan strategi yang terbukti berkesan. “Kami percaya program seperti ini adalah langkah penting untuk melahirkan lebih ramai usahawan digital yang berjaya dan berdaya saing,” ujarnya.

Dengan kejayaan ini, Adsia Academy berharap dapat terus menjadi perintis dalam mendidik dan memperkasakan usahawan tempatan untuk menguasai dunia perniagaan digital.

Leave a Reply