SHAH ALAM – Terus berusaha memberi kesedaran dalam menjaga kesihatan kepada orang ramai terutamanya membabitkan penyakit kencing manis atau diabetes, D’jue Wellness sekali lagi menganjurkan seminar yang diberi nama ‘Manage Your Diabetes With Dr Jue’.
Bertempat di Midlands Convention Center, penganjuran kali keempat ini dihadiri lebih 800 peserta yang turut sama mahu mengubah kehidupan mereka menjadi lebih sihat.
Diterajui oleh Dr Siti Juariah Kusni atau Dr Jue seminar dimulakan dengan perkongsian mengenai peningkatan kes diabetes yang semakin membimbangkan di Malaysia sekarang ini.
Dr Jue berkata, ramai orang tidak menyedari mereka berada dalam tahap pradiabetes, yang juga tahap awal sebelum seseorang didiagnosis dengan penyakit berkenaan.
“Statistik menunjukkan bahawa 54 peratus rakyat Malaysia kini menghidap obesiti, yang juga faktor utama penyumbang kepada diabetes.
“Saya kongsikan punca, tanda awal, dan kesan negatif diabetes jika tidak dirawat dan saya menggalakkan peserta untuk mengubah amalan pemakanan mereka, seperti mengurangkan pengambilan gula dan karbohidrat yang sering menjadi penyebab utama peningkatan paras gula darah,” katanya.
Pada seminar itu Dr Jue turut berkongsi tips menyediakan nasi rendah karbohidrat, serta menu sihat yang menggunakan bahan semula jadi.
Beliau turut memperkenalkan 10 protokol untuk mencegah diabetes antaranya dengan mengamalkan puasa intermiten. Puasa ini dikatakan dapat membantu mengawal paras gula darah dan menurunkan berat badan.
Ia adalah satu panduan praktikal tentang cara berpuasa tanpa merasa lapar yang turut mendapat sambutan positif daripada ramai peserta.
Antara lain seminar ini juga turut berkongsi mengenai ubatan yang diamalkan dalam pengurusan diabetes.
Meskipun bergantung pada rawatan farmasi, mengubah gaya hidup dan pemakanan yang lebih sihat adalah kunci utama dalam mengawal diabetes.
Pada seminar itu, peserta turut diberi peluang untuk membeli produk kesihatan seperti makanan rendah karbohidrat dan suplemen kesihatan dengan harga diskaun khas ditawarkan.
Menutup tirai seminar, Dr Jue turut berpesan diabetes bukanlah hukuman mati, tetapi ia boleh dicegah dan diuruskan dan dimulakan sekarang.
Selain memberi tips berpuasa intermiten, Dr Jue turut berkongsi tentang rawatan alternatif bekam yang dianggap berkesan dalam merawat diabetes.
Meskipun rawatan bekam sering dianggap sebagai rawatan kuno, pihaknya yakin apabila dilakukan dengan betul ia boleh memberikan manfaat yang baik dalam pengurusan diabetes.
Beliau turut menekankan kepada ibu bapa dalam menjaga pemakanan anak-anak.
“Saya ingin menyeru kepada ibu bapa agar memberi perhatian serius kepada pemakanan anak-anak mereka. Makanan segera dan makanan tinggi gula seperti bijirin bergula, susu manis, dan snek yang diproses harus dielakkan.
“Sebaliknya, perkenalkan kepada mereka makanan yang penuh dengan nutrisi, seperti telur dan makanan berserat tinggi, adalah sangat penting dalam membentuk diet harian anak-anak,” katanya.
Sementara itu, salah seorang peserta seminar, Zainab Ahmad berkata, seminar ini adalah sumber ilmu yang berguna dan praktikal untuknya.
“Seminar ini membuka mata saya dan membuatkan saya lebih faham cara menjaga kesihatan diri dan keluarga.
“Selama ini saya menghidap diabetes tetapi tidak mengambil sebarang rawatan di hospital.
“Pada awal saya membuat diet cara sendiri tetapi tidak berjaya sehinggalah saya mendapat tahu mengenai kaedah dan cara yang dikongsi oleh Dr Jue menarik perhatian saya,” katanya.