KUALA LUMPUR, 11 Disember 2024 – Bekas Ahli Dewan Negara, Datuk Ezam Mohd Nor, hari ini membuat laporan polis di Balai Polis Dang Wangi, mendakwa Perdana Menteri (PM) dan ahli Jemaah Menteri telah melanggar sumpah jawatan mereka kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA). Dakwaan itu berkait dengan keputusan Lembaga Pengampunan yang berlangsung pada 29 Januari 2024.

Ezam menyatakan bahawa PM secara sengaja mengingkari titah YDPA ke-16, melibatkan keputusan lembaga tersebut, yang didakwa sebagai satu tindakan bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan. “Saya percaya Perdana Menteri dan kabinetnya dengan sengaja mengenepikan titah YDPA atas kepentingan politik mereka sendiri,” katanya.

Menurut Ezam, beliau memiliki dokumen-dokumen berkaitan yang menunjukkan bukti keingkaran kerajaan terhadap perintah YDPA. Namun, disebabkan dokumen itu melibatkan cap mohor kerajaan dan titah diraja, Ezam menyerahkannya kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

Ezam turut mengkritik penjelasan PM di Parlimen baru-baru ini, yang dianggapnya sekadar “helah untuk menutup jenayah”. Beliau mempersoalkan kelewatan penjelasan tersebut, yang dibuat hampir setahun selepas mesyuarat Lembaga Pengampunan. “Kelewatan ini menunjukkan ada unsur jenayah di pihak PM yang tidak mahu melaksanakan titah Agong dengan segera,” tambahnya.

Beliau juga menegaskan bahawa isu ini tidak seharusnya berlanjutan hingga ke mahkamah jika kerajaan bersikap telus dan jujur. Dalam kes melibatkan Dato’ Seri Najib Razak, Ezam mendakwa keluarga Najib terpaksa membawa kes ini ke mahkamah setelah menunggu berbulan-bulan tanpa jawapan daripada kerajaan. “Mengapa kerajaan membisu selama ini? Jika kerajaan telus, titah Agong boleh dilaksanakan serta-merta,” ujarnya.

Ezam turut menggesa pihak polis segera membuka kertas siasatan terhadap PM dan kabinetnya, yang menurutnya telah melanggar sumpah jawatan kepada YDPA, satu tindakan yang disifatkannya sebagai jenayah berat. “Saya ingin mengingatkan PM agar insaf dan melaksanakan tugas hakikinya, yakni menurut titah Agong tanpa muslihat jahat,” tegas Ezam.

Sebagai peringatan, Ezam juga menyentuh isu kezaliman dan hak asasi manusia. Beliau menyelar kerajaan kerana gagal menepati prinsip keadilan dan kebebasan yang sering dilaung-laungkan. “Ini bukan sahaja soal taat setia kepada Raja, tetapi juga soal kezaliman dan hak insan,” tambahnya.

Kes ini mencetuskan persoalan besar mengenai hubungan antara institusi raja dan kerajaan. Ia juga menarik perhatian kepada keperluan kerajaan untuk menghormati titah Agong selaras dengan prinsip kedaulatan raja dan keutuhan Perlembagaan Persekutuan.

Leave a Reply