SELANGOR, 18 Ogos 2022- Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, YB Datuk Zahidi Zainul Abidin menyaksikan Memorandum Persefahaman (MOU) antara Telekom Malaysia Berhad (TM) dengan Yayasan Ekonomi Padang Besar (YEPB) di Petaling Jaya petang ini.

MoU ini melibatkan kolaborasi strategik antara TM dengan YEPB bagi menyediakan lebih ramai tenaga kerja terlatih dalam bidang telekomunikasi menerusi pensijilan tenaga kerja yang akan dibekalkan kepada kontraktor bumiputera yang telah dilantik untuk menjalankan kerja-kerja Fiberisation’ di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Zahidi yang ditemui dalam sidang media berkata, inisiatif antara TM dengan YEPB ini hadir selaras dengan pelaksanaan JENDELA oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“K-KOMM dan SKMM sentiasa memberikan tumpuan kepada penambahbaikan perkhidmatan komunikasi melalui pelaksanaan JENDELA bagi menangani isu akses kepada Internet berkualiti sekali gus merapatkan jurang digitalisasi antara bandar dengan luar bandar.

“Bagi melancarkan JENDELA, TM memerlukan lebih ramai tenaga kerja terlatih dalam bidang telekomunikasi yang kursusnya akan diselaraskan menerusi kolaborasi strategik bersama YEPB.

“Antaranya, YEPB telah dan akan mengadakan Program Kerjaya JENDELA untuk merekrut dan menyelaras Kursus Pensijilan Kecekapan Tenaga Kerja Gentian Optik untuk dibekalkan kepada kontraktor.

“Saya dimaklumkan sehingga hari ini YEPB telah menguruskan sebanyak 400 permohonan syarikat yang berminat untuk menjadi kontraktor bertauliah (CNC Turnkey) TM. Setakat 1 Ogos 2022, sebanyak 73 syarikat telah berjaya mendapat Surat Setuju Terima (LOA) manakala 312 syarikat lagi masih dalam proses tapisan,” katanya lagi.

TM dan YEPB akan menyelaraskan Kursus Pemasangan Gentian Optik CA2C & CA1C, Sijil Kecekapan dan Keselamatan Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) seperti TM Safety passport (NTMSP). Authorized Entrant and Standby Person for Confined Space (AESP), Authorized Gas Tester and Entry Supervisor (AGTES) serta mengelolakan Kursus Working at Height-Pole Proficiency.

Sementara itu, Program Kerjaya JENDELA YEPB merupakan inisiatif bagi mencipta lebih daripada 5000 peluang pekerjaan sama ada secara latihan industri selama tiga hingga enam bulan atau kerjaya sepenuh masa kepada pelajar-pelajar Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional, GIATMARA dan Persatuan Huffaz Berkemahiran Malaysia yang mengambil jurusan elektrik, elektronik dan telekomunikasi sehingga 2025.

Terdahulu pada 19 Julai 2022, YEPB telah memeterai MOU bersama NIOSH dalam usaha menjayakan kursus-kursus pensijilan kecekapan tenaga kerja gentian optik.

Leave a Reply