KUALA LUMPUR, 19 Ogos 2022 – Kembara Merdeka Keluarga Malaysia (KMKM2022) Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hari ini secara rasminya melabuhkan tirainya di Lobi Menara 1, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Sri Mahadi yang mewakili Menteri Wilayah Persekutuan, YB Datuk Sri Dr. Shahidan Bin Kassim, menyerahkan Baton KMKM2022 kepada Ketua Pengarah Penerangan Malaysia, Datuk Mohd. Sukari Ab. Hamid.

Majlis penuh simbolik ini turut dihadiri Lim Ann Teck, Pengarah Penerangan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur & Putrajaya.

Majlis turut digelorakan lagi dengan sesi penyerahan Jalur Gemilang kepada Ketua Komuniti dan Agensi oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur yang mewakili YB Menteri Wilayah Persekutuan.

Setelah dua tahun program kemerdekaan tidak dapat diadakan secara fizikal kerana negara berhadapan dengan pandemik COVID-19, KMKM2022 pada kali ini merupakan titik tolak untuk meniup dan menyemarakkan semangat rakyat bagi sama-sama mengibarkan Jalur Gemilang di premis, di rumah masing-masing atau di mana sahaja. Kibaran bendera bukan pada sepanjang Bulan Kebangsaan sahaja tetapi perlu pada setiap masa.

Selama dua (2) hari KMKM2022 berlangsung di Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ini sebanyak 2,000 Jalur Gemilang diedarkan kepada orang ramai.

Selain daripada Program KMKM2022, Program Merdeka@Komuniti dan Program Semarak Gemilang juga turut diadakan di sempena Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) pada tahun ini. Kesemua program-program ini melibatkan komuniti-komuniti Keluarga Malaysia di setiap daerah. Di Wilayah Persekutuan dan Putrajaya terdapat 72 Komuniti Keluarga Malaysia yang menjadi nadi penggerak program dan aktiviti JaPen.

Pertandingan Klik@merdeka, MjyDOODLE@Merdeka, Keceriaan Kementerian, Ilham Merdeka Tiktok Challenge, Bintang Patriotik dan Sayembara Sajak Merdeka turut menjadi pengisian pada sambutan pada tahun ini.

Orang ramai boleh melayari portal Merdeka 360, http://merdeka360.my/web/ untuk mendapatkan maklumat lanjut berkaitan pelbagai aktiviti dan pertandingan ini.

Leave a Reply