KUALA LUMPUR, 27 Disember 2024 – Pengerusi Gerakan Kuasa Rakyat (G57), Datuk Zulkarnain Mahdar, hari ini membuat laporan polis pada individu yang didakwa membuat tuduhan palsu dan menghina melibatkan institusi raja dan pemimpin negeri Sabah.
Laporan pertama yang dilaporkan oleh G57 adalah terhadap seorang individu bernama Linus, yang didakwa memuat naik tulisan dalam kumpulan WhatsApp Politik Penampang. Tulisan tersebut menggambarkan Yang di-Pertuan Agong dan Ketua Menteri Sabah kononnya menerima rasuah dalam pelantikan Tun Musa Aman sebagai Yang di-Pertua Negeri Sabah ke 11. Zulkarnain menegaskan tuduhan ini bukan sahaja tidak berasas tetapi juga mencemarkan nama baik institusi tertinggi negara.
Laporan kedua pula melibatkan kartunis kontroversi Fahmi Reza, yang didakwa memuat naik karikatur wajah Tun Musa Aman di laman Facebook miliknya pada 17 dan 23 Disember 2024. Karikatur itu, menurut Zulkarnain, cuba menggambarkan Tun Musa sebagai individu korup, walaupun mahkamah tidak pernah menjatuhkan sebarang hukuman bersalah terhadap beliau. “Ini adalah satu penghinaan dan provokasi terhadap rakyat Sabah, lebih-lebih lagi apabila fakta tidak menyokong tuduhan tersebut,” tegas beliau.
Zulkarnain juga memaklumkan bahawa laporan polis telah dibuat terhadap kedua-dua individu tersebut atas dakwaan menghina Yang di-Pertuan Agong dan Yang di-Pertua Negeri Sabah. Beliau menyeru pihak berkuasa untuk bertindak tegas bagi memastikan sensitiviti rakyat Sabah dan Sarawak terus dijaga.
“Tindakan seperti ini hanya mengundang kemarahan dan menimbulkan ketegangan dalam kalangan rakyat,” katanya ketika sidang media di Balai Polis Sri Petaling disini hari ini.
Selain itu, beliau turut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap apa yang dianggap sebagai ketidakadilan undang-undang. “Tun Musa terus diserang tanpa bukti kukuh, sedangkan tindakan serupa terhadap pihak lain sering kali diabaikan,” ujar Zulkarnain.
Beliau menyifatkan perkara ini sebagai contoh jelas berat sebelah dalam penguatkuasaan undang-undang.
Mengulas mengenai perancangan himpunan oleh kumpulan mahasiswa yang mendesak pemimpin tertentu meletak jawatan, Zulkarnain menyatakan kebimbangannya terhadap agenda tersebut yang dikatakan tidak berasas. “Adakah mereka mempunyai bukti kukuh untuk membuat desakan seperti ini, atau sekadar mahu mencetuskan ketegangan politik?” soal beliau.
Zulkarnain turut mengkritik tindakan Fahmi Reza, dengan menyifatkan kartunis tersebut tidak sensitif terhadap budaya dan perasaan rakyat Sabah. “Ini adalah serangan kepada maruah kami sebagai rakyat Sabah. Tindakan ini tidak boleh diterima,” tegasnya lagi.
Pengerusi G57 itu menyeru Perdana Menteri dan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas terhadap individu-individu yang menghina institusi raja dan pemimpin negeri. “Kita perlu mempertahankan maruah institusi-institusi ini dan memastikan provokasi seperti ini tidak berulang,” katanya.