
BANGI, 19 Mei 2026 – B.U.I.L.D.E.R.S. Industry Gala & Awards 2026 atau BIFA 2026 melabuhkan tirainya dengan penuh gemilang dalam satu majlis berprestij yang meraikan pencapaian cemerlang, kepimpinan berwawasan serta sumbangan besar pelbagai pihak terhadap pembangunan negara.
Majlis yang berlangsung bersempena B.U.I.L.D.E.R.S. Industry Forum 2026 itu menjadi platform rasmi pengiktirafan kepada organisasi, syarikat korporat, institusi pendidikan dan tokoh industri yang memberi impak besar dalam sektor persekitaran binaan, infrastruktur, kejuruteraan, pendidikan, pelaburan dan sosioekonomi.
Penganjuran julung kali itu diterajui oleh Adj. Prof. Dato Sri Abdul Rani Osman bersama Tan Sri Dato’ Sri Dr Mohamed Yusof bin Mohamed Noor, yang memainkan peranan penting dalam memperkukuh misi B.U.I.L.D.E.R.S. sebagai platform strategik menghubungkan kerajaan, akademia, pemain industri dan rakan antarabangsa.

Tan Sri Dato’ Sri Dr Mohamed Yusof berkata, sambutan luar biasa yang diterima membuktikan bahawa penyertaan pelbagai sektor mampu menjadi asas kepada kerjasama lebih kukuh demi kemajuan negara.
Menurut beliau, B.U.I.L.D.E.R.S. bukan sekadar majlis makan malam, sebaliknya usaha membina rangkaian, kolaborasi dan penyatuan tenaga antara pelbagai kumpulan industri.


“Negara memerlukan inovasi dan kepimpinan yang efisien. Tanpa inovasi dan tanpa leadership yang cekap, tentu kita tidak boleh maju.
“Dinner ini boleh membina satu rangkaian yang boleh membantu kemajuan negara,” katanya.
Sementara itu, Adj. Prof. Dato Sri Abdul Rani Osman menjelaskan, pemilihan penerima anugerah dibuat berdasarkan pencapaian dalam kategori masing-masing dengan penilaian oleh jawatankuasa yang terdiri daripada pemain industri, ahli akademik serta wakil industri berkaitan termasuk CIDB.


Beliau berkata, lebih 35 anugerah disampaikan pada malam tersebut, merangkumi pelbagai kategori termasuk kecemerlangan korporat strategik, inovasi pelaburan dan kewangan, kepimpinan pembinaan dan infrastruktur, kecemerlangan akademik dan institusi, impak komuniti, pembangunan sosioekonomi, transformasi digital serta keusahawanan.
Antara organisasi dan institusi yang menerima pengiktirafan termasuk Olympia Land Sdn Bhd, World Islamic Economic Development Capital Bhd, Universiti Sains Islam Malaysia, Multimedia University, DRB-HICOM Berhad, CIDB Holdings Sdn Bhd dan Institut Keusahawanan Negara.
Abdul Rani berkata, B.U.I.L.D.E.R.S. merupakan penganjuran pertama yang menjadi perintis kepada penyatuan sektor pendidikan dan industri pembinaan dalam satu platform.
Katanya, sambutan positif daripada pemain industri dan akademia membuktikan program itu berpotensi diteruskan sebagai acara tahunan dengan jaringan lebih luas bukan sahaja di peringkat tempatan, malah antarabangsa.

“Ini macam perintis dari segi education dan construction industry. Kita tengok sambutan yang begitu baik, sudah tentu kita akan teruskan. “Bukan setakat lokal, tetapi juga international,” katanya.
Turut hadir pada majlis ini ialah Bekas Perdana Menteri ke 9 Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob, Ahli Parlimen Bera.
Dalam pada itu, salah seorang penerima anugerah, Prof Ts Dr Log Othman menzahirkan rasa syukur selepas menerima Builders Professional Outstanding Leadership Excellence Award 2026 bagi kategori Corporate Academic Achievement.
Beliau berkata, anugerah itu merupakan pencapaian peribadi yang cukup bermakna sepanjang penglibatannya dalam bidang korporat dan akademik.
“Alhamdulillah, syukur kepada Allah SWT kerana pada malam ini dianugerahkan Builders Professional Outstanding Leadership Excellence Award 2026.
“Saya bersyukur kepada keluarga, isteri, anak-anak dan semua yang terlibat dalam meraikan kejayaan pada malam ini,” katanya.

BIFA 2026 turut melengkapi hasil strategik B.U.I.L.D.E.R.S. Industry Forum 2026 yang sebelum itu membincangkan keutamaan global seperti ESG, pembinaan digital, pembiayaan infrastruktur, bandar pintar dan pembangunan mampan.
Majlis itu juga menyaksikan pelancaran Chartered International Institute of Built Environment & Engineering, sebuah institusi global baharu yang bertujuan memperkukuh standard profesional, kecemerlangan penyelidikan dan kerjasama rentas sempadan.
Secara keseluruhannya, BIFA 2026 bukan sahaja meraikan kejayaan industri, tetapi turut mengangkat nilai pembinaan negara, kelestarian, inovasi dan kesiapsiagaan masa depan dalam menghadapi perubahan ekonomi, teknologi serta alam sekitar global.
#BIFA2026 #BUILDERSIndustryAwards #KecemerlanganIndustri #PembangunanNegara #InovasiDanKepimpinan