Strategi Politik atau Menjunjung Titah?
Kuala Lumpur, 4 Januari 2025 – Perancangan perhimpunan besar-besaran Solidariti Bersama Datuk Seri Najib Razak (DSNR) yang dijadualkan berlangsung pada 6 Januari 2025 di hadapan Istana Kehakiman akhirnya dibatalkan oleh UMNO. Keputusan ini diambil selepas Istana Negara mengeluarkan titah khas berkaitan prosedur pengampunan banduan.
Presiden Parti PUTRA, Datuk Paduka Ibrahim Ali menyifatkan keputusan ini sebagai langkah politik strategik yang berjaya mengelakkan pelbagai konflik yang boleh menggugat kerajaan Madani di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX). Menurut beliau, situasi ini menyerlahkan bagaimana isu solidariti bersama DSNR, yang awalnya dirancang sebagai satu perhimpunan gegak gempita, bertukar menjadi jalan keluar untuk menyelamatkan keadaan, katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut Ibrahim Ali, UMNO telah merancang untuk membawa lebih 200 buah bas yang penuh dengan ahli parti ke perhimpunan tersebut, sementara PAS pula telah menyatakan sokongan penuh untuk turut serta. Keputusan PAS menyokong perhimpunan ini menimbulkan ketegangan politik apabila DAP melenting, menyuarakan bantahan keras terhadap kerjasama UMNO-PAS dalam isu ini. Bahkan, MCA dan MIC turut mengambil peluang untuk menunjukkan solidariti mereka.
Namun, keadaan berubah pada 3 Januari 2025 apabila Istana Negara mengeluarkan titah menyatakan bahawa urusan pengampunan adalah prerogatif Yang di-Pertuan Agong berdasarkan nasihat Lembaga Pengampunan, dan bukannya keputusan mahkamah. Menjunjung titah tersebut, UMNO pada keesokan harinya mengumumkan pembatalan perhimpunan tersebut. Keputusan ini dikatakan diambil bagi menghormati institusi diraja, namun Ibrahim Ali menyifatkannya sebagai langkah ‘face-saving’ UMNO untuk meredakan ketegangan.
“Solidariti yang dirancang ini amat ditakuti oleh PMX dan mengundang reaksi keras DAP, yang mungkin boleh menyebabkan DAP menarik diri dari kerajaan Madani. Namun, dengan langkah ini, PMX terselamat dan UMNO berjaya mengelak kritikan lanjut,” kata Ibrahim Ali.
Beliau turut mengkritik strategi UMNO yang dilihat terlalu menumpukan pada isu addendum untuk tahanan di rumah bagi DSNR, sedangkan yang lebih utama adalah mendapatkan pengampunan penuh. “Burung dalam sangkar emas pun mahu terbang bebas,” katanya, merujuk kepada keinginan DSNR untuk kembali menikmati kebebasan sepenuhnya.
Justeru, dengan pembatalan perhimpunan ini, pelbagai pihak menarik nafas lega, termasuk PAS yang turut terpalit dengan tuduhan mengambil kesempatan dalam isu ini. Ibrahim Ali menegaskan bahawa dalam arena politik, manusia hanya mampu merancang, tetapi keputusan akhir tetap di tangan Allah SWT.