KUALA LUMPUR, 5 Januari – Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim, tampil memberikan teguran kepada pihak tertentu yang kini sibuk menjaja naratif solidariti terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, atau lebih dikenali sebagai “Bossku”.
Beliau yang juga merangkap Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan menyifatkan kumpulan tersebut sebagai “geng cencaru makan petang” yang sebelum ini lantang mengkritik dan mempersoalkan Najib, tetapi kini bertindak seolah-olah menjadi penyokong tegar.
“Kini, selepas UMNO membuat keputusan untuk tidak menyertai himpunan solidariti Bossku di Mahkamah Rayuan esok, tiba-tiba ramai pula yang menjadi ‘terpaling Bossku’. Sedangkan, mereka inilah yang pernah menganiaya dan mempersoalkan beliau sebelum ini. Adakah mereka tidak malu?” tegas Gulam.
Beliau turut mengingatkan tentang sejarah penganiayaan terhadap Najib oleh individu dan pihak yang kini cuba meraih keuntungan politik melalui naratif solidariti palsu. Ketika Najib berdepan siasatan dan rumahnya digeledah, menurut Gulam, bayang kumpulan ini langsung tidak kelihatan. Malah, ada di antara mereka bersorak dengan apa yang berlaku.
“Di saat UMNO memperjuangkan nasib Bossku sejak hari pertama beliau hilang kuasa, ada yang lompat parti, menjauhkan diri, malah bersorak dengan ujian yang menimpa. Tetapi hari ini, mereka sibuk menjual naratif #DemiNajib,” katanya lagi.
Gulam juga mengingatkan ahli-ahli UMNO agar berhati-hati dengan “grand design” atau strategi musuh politik yang bertujuan memecahbelahkan perpaduan parti. Beliau menegaskan bahawa serangan dari dalam adalah taktik terbaik musuh untuk melemahkan UMNO, seperti yang terbukti dalam pilihan raya penggal lalu.
“Jangan terjerumus dengan dakyah yang bertujuan menghancurkan UMNO dari dalam. Mereka ini mungkin nampak ikhlas hari ini, tetapi esok lusa lain pula skripnya. Bila nasi sudah menjadi bubur, segalanya sudah terlambat,” ujarnya dengan penuh peringatan.
Mengakhiri kenyataannya, Gulam menggesa agar ahli-ahli UMNO menilai keikhlasan pihak-pihak tertentu sebelum memberi sokongan. Baginya, pengalaman pahit lalu perlu dijadikan pengajaran supaya UMNO tidak diperalatkan sekali lagi demi kepentingan pihak tertentu.