KUALA LUMPUR, 21 Januari 2025 – Dalam usaha memperkukuhkan industri pembinaan rel di Malaysia, Makmal Kerja Raya Malaysia (MKRM) kini dilengkapi dengan fasiliti pengujian Railway Sleepers dan Railway Bearers yang memenuhi standard antarabangsa. Dikendalikan oleh Construction Research Institute of Malaysia (CREAM), institut ini di bawah naungan CIDB Malaysia berhasrat memperluaskan pengujian rel termasuk trek, fastener, welded joint, dan keseluruhan sistem rel.
Fasiliti ini siap sepenuhnya pada 2023, menjadikan MKRM sebagai pusat pengujian produk rel yang menyeluruh. Tambahan pula, CREAM telah meluaskan skop akreditasi di bawah piawaian MS ISO/IEC 17025:2017 dengan penambahan 12 produk, antaranya Precast Concrete Rail Sleepers, besi, keluli, dan perancah. Piawaian antarabangsa ini memastikan pengujian dilakukan dengan tahap kualiti dan kecekapan tinggi.
Sebagai badan pemeriksaan dan pensijilan produk, CREAM juga telah menjalankan lebih 500 aktiviti pemeriksaan di pelbagai lokasi sejak 10 tahun lalu. Perkhidmatan ini kini diiktiraf di bawah MS ISO/IEC 17020:2012, yang diterima pada Disember 2024. Dengan akreditasi ini, CREAM memainkan peranan penting dalam memastikan produk pembinaan mematuhi standard yang ditetapkan, memberikan keyakinan kepada pelanggan dan pihak berkuasa.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, dalam lawatan rasminya ke MKRM, menyatakan bahawa akreditasi ini membolehkan proses pemeriksaan dan pengujian dilakukan dengan lebih cekap sebelum produk diluluskan oleh CIDB dan pihak berkuasa tempatan. Turut hadir ialah Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, Puan Zainora Zainal, serta beberapa pemimpin industri.
Lawatan turut meliputi Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Tengah, yang dilengkapi dengan Simulator Jentera Berat untuk mendigitalisasi latihan praktikal. Bengkel kimpalan di CIDB Technologies pula dirancang bagi memperkukuh kemahiran teknikal tenaga kerja pembinaan.
Setakat Disember 2024, ABM Wilayah Tengah telah melatih 65,235 peserta dalam pelbagai tred kemahiran, termasuk Crane Operator dan Scaffolding. CIDB Technologies pula mencatatkan 7,823 peserta, selain pencapaian membanggakan dalam pertandingan kemahiran seperti WorldSkills.
Pencapaian ini menegaskan komitmen CIDB dan CREAM dalam menyokong pembangunan industri pembinaan negara melalui inovasi teknologi dan pengukuhan tenaga kerja mahir. Untuk maklumat lanjut, layari www.cidb.gov.my.