KUALA LUMPUR, 17 Januari 2025 – Pertubuhan Kebajikan Nambikkai Malaysia melalui Presidennya, Dato’ Dr. Kalaivanar, hari ini menggesa kerajaan menyemak semula caj RM1 bagi setiap transaksi menggunakan sistem MEPS yang telah dikenakan sejak 27 tahun lalu. Dalam sidang media yang berlangsung pada jam 5 petang, beliau menyuarakan kekesalan terhadap beban kewangan yang ditanggung oleh rakyat akibat caj tersebut.

Menurut Dr. Kalaivanar, caj yang dikenakan oleh 11 bank utama di Malaysia telah menghasilkan keuntungan besar. “Pada tahun 2023, PAYNET mencatat pendapatan sebanyak RM544 juta dengan keuntungan bersih RM271 juta. Persoalannya, adakah 222 ahli parlimen menyedari beban ini kepada rakyat?” katanya.

Beliau turut mempersoalkan janji-janji kerajaan terdahulu, termasuk Pakatan Harapan dan Perikatan Nasional, yang belum menampakkan hasil dalam isu penghapusan tol dan caj tambahan kepada rakyat. “Kerajaan tidak seharusnya terus membebankan rakyat dengan cukai dan caj seperti ini. Kita sudah muak dengan janji-janji kosong yang tidak pernah dilaksanakan,” tegasnya.

Dr. Kalaivanar menyeru rakyat Malaysia untuk menyokong petisyen yang dilancarkan oleh Kesatuan Kebangsaan Pekerja Bank (NUBE) melalui platform Change.org https://chng.it/Z7CNC4zvCn pada 23 Disember 2024. Namun, beliau kecewa dengan sambutan dingin yang diterima. “Kita ada 37 juta penduduk, tetapi sehingga kini, hanya kira-kira 5,000 orang yang menandatangani petisyen ini,” ujarnya.

Beliau turut membangkitkan kesan caj RM1 kepada golongan yang memerlukan, seperti pesakit dialisis dan pelajar universiti. “Bayangkan pesakit dialisis yang memerlukan RM8,000 hingga RM12,000 sebulan untuk rawatan. Caj ini menambahkan lagi beban mereka yang sudah sedia berat,” katanya.

Selain itu, Dr. Kalaivanar mengkritik kenaikan tarif elektrik dan cukai baharu yang terus membebankan rakyat. Beliau menyeru Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, untuk mengambil tindakan segera demi kesejahteraan rakyat. “Anwar sering bercakap tentang keadilan dan ‘rule of law’, tetapi di mana keadilannya jika rakyat terus menderita?” soal beliau.

Dr Kalaivanar turut menyeru semua NGO pelbagai kaum di Malaysia untuk bersatu menggesa perubahan. “Kita harus bangkit bersama. Ini bukan soal politik, tetapi kepentingan seluruh rakyat,” katanya sebelum mengakhiri ucapan dengan penghargaan kepada NUBE kerana membangkitkan isu ini.

Dr. Kalaivanar turut mengumumkan rancangan untuk bekerjasama dengan lebih banyak NGO dalam masa terdekat bagi memperluaskan usaha mereka dalam memperjuangkan isu ini. “Demi rakyat, kita akan terus berjuang,” tegasnya.
#DatoDrKalaivanar #nambikkaimalaysia #MEPS #NUBE #Bank #Malaysia

Leave a Reply