KUALA LUMPUR, 13 Februari 2025 – Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Dato’ Sri Ramanan Ramakrishnan, telah menyalurkan bantuan kewangan berjumlah RM1.4 juta kepada lapan koperasi komuniti India sebagai langkah memperkasa gerakan koperasi dalam kalangan masyarakat India di Malaysia. Penyerahan cek cura ini disempurnakan dalam satu majlis khas di ibu negara, membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap pembangunan ekonomi koperasi India yang semakin diiktiraf sebagai tunjang ekonomi masyarakat.

Daripada jumlah itu, sebanyak RM175,600 disalurkan kepada enam koperasi dalam bentuk Geran Bantuan Pembangunan, manakala RM1.225 juta diberikan kepada dua koperasi menerusi Pembiayaan Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (TMPSKM). Bantuan ini merupakan susulan kepada janji YB Dato’ Sri Ramanan sewaktu Persidangan Koperasi Komuniti India (PKKI) yang berlangsung pada Oktober tahun lalu.

Enam koperasi yang menerima Geran Bantuan adalah Koperasi Malaysia Peniaga-Peniaga India Berhad (RM27,600), Koperasi Nesa Pelbagai Berhad (RM30,000), Koperasi Serbaguna Kebangsaan Berhad (RM28,000), Koperasi India Salak Kuala Kangsar Berhad (RM30,000), Koperasi Perak Berhad Generasi Berwawasan (RM30,000), dan Koperasi Guru-Guru Sekolah India Perak Berhad (RM30,000). Manakala, dua koperasi yang memperoleh pembiayaan TMPSKM ialah Koperasi Serbaguna Pertanian Perusahaan Kemajuan Berhad dengan jumlah RM1 juta, serta Koperasi Wawasan Jaya Pulau Pinang Berhad sebanyak RM225,000.

Menurut YB Dato’ Sri Ramanan, pengiktirafan terhadap koperasi komuniti India ini adalah hasil kerjasama erat antara Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM). Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Ketua Pegawai Eksekutif SKM, Dato’ Haji Rosli Jaafar, serta pasukannya yang diketuai Puan Siti Azlin dan Tuan Azam, atas kejayaan melaksanakan inisiatif ini bersama pejabat beliau.

Dalam ucapannya, YB Dato’ Sri Ramanan mengakui bahawa sejak penubuhan gerakan koperasi pada tahun 1922, belum pernah ada persidangan khas atau dana khusus yang diperuntukkan untuk koperasi India. Justeru, inisiatif ini dilihat sebagai satu lembaran baharu yang memberi ruang kepada koperasi India untuk terus berkembang dan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara.

Berdasarkan statistik SKM sehingga 31 Disember 2023, sebanyak 419 koperasi komuniti India berdaftar dengan keanggotaan seramai 249,599 orang. Jumlah syer dan yuran terkumpul mencatatkan RM619 juta, aset bernilai RM1.72 bilion, dan perolehan tahunan mencecah RM334 juta. Data ini menunjukkan potensi besar koperasi India untuk terus maju dengan sokongan berterusan daripada kerajaan.

Dato’ Sri Ramanan turut menyeru lebih banyak koperasi India memanfaatkan peluang yang disediakan. Setakat ini, hanya 17 koperasi membuat permohonan untuk mendapatkan geran khas, dengan 14 daripadanya diluluskan. Beliau menegaskan kejayaan inisiatif ini menjadi penanda aras penting untuk kesinambungan program pada masa depan. SKM juga akan turun padang ke setiap negeri bagi membantu koperasi melengkapkan dokumentasi serta menyediakan khidmat nasihat.

Majlis tersebut turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif SKM, YBhg. Datuk Rusli Jaafar, serta barisan pengurusan tertinggi SKM. Dengan komitmen berterusan ini, gerakan koperasi India dijangka terus berkembang sebagai penggerak ekonomi komuniti, sejajar dengan matlamat memperkukuh kedudukan koperasi sebagai pelengkap ekonomi negara.

Leave a Reply