oplus_4194304

KUALA LUMPUR, 12 Februari 2025 – Kampong Bharu, sebuah permata warisan budaya Melayu di tengah ibu kota Kuala Lumpur, menyambut ulang tahunnya yang ke-125 dengan penuh simbolik melalui majlis pemeteraian memorandum kerjasama bersama rakan-rakan strategik. Majlis anjuran Lembaga Pentadbiran Malay Agricultural Settlement (M.A.S) Kampong Bharu Kuala Lumpur ini menandakan komitmen untuk terus memelihara dan memulihara warisan sejarah serta budaya masyarakat Melayu di kawasan tersebut.

Majlis yang berlangsung meriah itu menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) dan Memorandum Perjanjian (MoA) antara M.A.S dengan beberapa pihak termasuk Persatuan Alumni Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Karyawan Malaysia, Persatuan Waris Nakhoda Yusof serta syarikat swasta seperti Mike Bikes Sdn. Bhd. dan Elenet Sdn. Bhd.

Setiausaha Kehormat M.A.S, Tuan Haji Shamsuri Suradi menegaskan, usia 125 tahun Kampong Bharu menjadi bukti kejayaan usaha pentadbiran M.A.S sejak 1900. Beliau menyifatkan kolaborasi bersama rakan strategik ini sebagai langkah penting untuk memastikan Kampong Bharu kekal sebagai pusat kebudayaan dan warisan Melayu yang dinamik di tengah arus pembangunan pesat.

“Kampong Bharu adalah permulaan kepada banyak kisah kejayaan masyarakat Melayu. Nilai tradisi dan semangat komuniti terus hidup di sini. Diharapkan sambutan ini menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk menghargai warisan kita,” katanya.

Berteraskan tema “Di Sini Awal Segalanya Bermula”, sambutan kali ini membawa pengertian mendalam tentang permulaan sejarah, budaya, dan pembangunan masyarakat Melayu di Kuala Lumpur. Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar & Alumni ASWARA, Prof. Madya Ts. Is. Dr. Zulkifli Ab Rashid yang juga Penasihat Kehormat (Sejarah, Kebudayaan dan Kesenian) M.A.S menegaskan, pembangunan Kampong Bharu perlu seiring dengan pemeliharaan akar budaya dan sejarahnya.

“Kita perlu mengangkat kembali Kampong Bharu sebagai pusat intelektual, budaya, dan ekonomi Melayu. Setiap bangunan lama, lorong-lorong bersejarah, surau, dan masjid adalah khazanah yang perlu dipertahankan,” ujarnya.

Sepanjang tahun ini, pelbagai program telah dirancang bagi memeriahkan sambutan ulang tahun ke-125, antaranya pameran “Kampong Bharu Truly Kuala Lumpur”, Pasar Minggu Kampong Bharu, Konsert Irama Tradisi Kampong Bharu, Kampong Bharu Berselawat, dan Podcast M.A.S Kampong Bharu. Semua acara ini dijangka menarik perhatian pelancong tempatan dan luar negara, sekali gus memperkukuhkan kedudukan Kampong Bharu sebagai hab budaya dan ekonomi Melayu yang unik di ibu kota.

Dengan kerjasama erat antara semua pihak, Kampong Bharu diyakini mampu kekal relevan sebagai lambang warisan Melayu di tengah arus pembangunan bandar raya Kuala Lumpur, mencerminkan gabungan harmoni antara tradisi dan kemajuan moden.
#kampongbharu #warisanmelayu #melayu #125tahun #malayagriculturalsettlement #MAS #kualalumpur

Leave a Reply