KUALA LUMPUR – Dalam usaha mengumpul dana untuk memperkukuh latihan jentera parti dan program kebajikan anggota, Keadilan Wilayah Persekutuan baru-baru ini mengadakan sebuah majlis makan malam yang mencatat kejayaan luar biasa dengan kutipan melebihi sasaran.
Dengan sasaran awal sebanyak RM500,000, dana yang diperoleh pada malam berkenaan mencecah RM650,000, satu jumlah yang melebihi jangkaan.
Kejayaan ini menunjukkan sokongan yang kukuh daripada masyarakat, terutamanya golongan ahli perniagaan, yang percaya kepada perjuangan parti dan kestabilan yang sedang diperjuangkan oleh Kerajaan Madani di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kami sangat berterima kasih kepada semua yang telah menyumbang. Ini menunjukkan bahawa ramai yang menyokong usaha kami untuk memastikan kerajaan yang stabil dan bertanggungjawab terus diperkukuh.
“Insya-Allah, sokongan ini akan terus membantu kami dalam membangunkan ekonomi negara dan memastikan kestabilan yang lebih baik,” kata Datuk Azman Abidin.
Selain itu, majlis makan malam ini juga adalah satu tanda penghargaan kepada perjuangan berterusan Keadilan.

Azman turut menyeru agar setiap anggota parti terus memperkasakan jentera parti di peringkat akar umbi dan bekerja keras untuk menghadapi pilihan raya akan datang.
Hadir sama pada majlis berkenaan, Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Beliau turut memberikan sokongan dan berbicara mengenai pentingnya kesatuan di kalangan rakyat pelbagai kaum yang menjadi asas kekuatan negara.

Sementara itu, Azman Abidin yang juga anggota KEADILAN Cabang Bandar Tun Razak, dalam ucapannya juga menekankan betapa pentingnya mengukuhkan parti di setiap peringkat, memandangkan parti ini kini menerajui kerajaan Persekutuan.
Beliau juga mengingatkan pemimpin parti untuk lebih peka terhadap maklum balas akar umbi dan terus menjalankan amanah dengan rendah hati.
“Kita di sini bukan kerana kedudukan, tetapi kerana tanggungjawab yang harus kita pikul,” katanya.
Katanya, Keadilan terus berjuang untuk mengukuhkan parti, memperkukuh hubungan dengan rakyat pelbagai lapisan masyarakat, dan memastikan kestabilan negara dengan menjaga keharmonian pelbagai kaum di bawah pemerintahan kerajaan Madani.