SHAH ALAM, 19 Ogos 2022 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dengan kerjasama Persatuan Francais Malaysia (MFA) dan Aeon Mall Shah Alam membuka peluang perniagaan francais kepada masyarakat di lembah klang melalui Program Jelajah Franchise Bay (PJFB) 2022. Program ini telah dirasmikan oleh YB Dato’ Rosol Bin Wahid, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

Program ini merupakan platform yang dibangunkan oleh Kerajaan melalui Kementerian tertumpu kepada bakal peniaga untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan, mengembangkan perniagaan sedia ada dan juga mempromosikan perniagaan mereka yang terkesan akibat pandemik COVID-19, seterusnya menyumbang kepada pengukuhan ekonomi negara.

Sempena PJFB 2022 ini, pameran turut diadakan selaras dengan perkembangan pesat industri francais dalam negara. Sebanyak 20 syarikat francais tempatan telah terlibat dalam sesi pameran dan business matching. Pameran ini juga bertujuan memberi pendedahan tentang sistem-sistem perniagaan francais yang telah wujud di negara ini serta pakej-pakej latihan dan pembiayaan yang disediakan oleh Kerajaan kepada bakal-bakal usahawan francais.

PJFB di Shah Alam ini merupakan siri yang keempat daripada siri Jelajah Francais Bay bagi tahun 2022. Siri pertama telah dirasmikan oleh YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri PDNHEP pada 28 Mei 2022 di Kuching, Sarawak. Siri Kedua telah dilaksanakan pada 9-11 Jun 2022 di Johor Bahru, Johor. Siri ketiga telah dilaksanakan pada 15-17 Julai 2022 di Kuantan, Pahang dan yang terakhir akan dilaksanakan di Negeri Kedah (17-19 November 2022).

Hasil daripada penganjuran program di Kuching, Johor Bahru dan Kuantan, sebanyak 304 potensi francaisi telah mendapatkan khidmat nasihat dan mengemukakan hasrat mereka untuk menjadi francaisi dengan nilai potensi pelaburan sebanyak RM93 juta.

KPDNHEP mensasarkan sekurang-kurangnya 30 potensi francaisi dengan jangkaan nilai potensi pelaburan sebanyak RM 7.5 juta melalui PJFB di lembah klang ini.

Kerajaan menggalakkan para peniaga untuk merebut peluang yang disediakan dari segi program latihan dan pembiayaan dalam meneroka perniagaan francais. Sebarang pertanyaan boleh merujuk kepada pautan www.mfa.org.my dan sila lawat pautan https://myfexv2.kpdnhep.gov.my untuk pendaftaran.

Leave a Reply