ALOR GAJAH, 19 Ogos – Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), menyediakan dana sebanyak RM800 ribu untuk Skim Bantuan Pendidikan Yayasan RISDA tahun ini.
Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, dana itu meliputi Skim Insentif Pelajar RM500 secara one-off, Bantuan Sara Hidup Pelajar RM450 sebulan sepanjang pengajian dan Biasiswa Pelajar RM6,800 hingga RM13,800 setahun kepada pelajar Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM).
“Melalui yayasan yang sama, RISDA turut menyediakan Skim Bantuan komputer riba UCAM secara one-off dan Anugerah Yayasan RISDA berbentuk dermasiswa bernilai RM2,000 kepada pelajar cemerlang.
Saya yakin, dengan inisiatif yang disediakan ini, ianya dapat menjadi pemangkin kepada generasi muda anak-anak pekebun kecil RISDA untuk terus menyambung pelajaran ke tahap yang lebih tinggi serta dapat membantu dalam melancarkan pengajian mereka di UCAM.”
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan ke Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM) di sini hari ini.
Turut serta, Pengerusi RISDA, YB Datuk Seri Hj. Mohd Salim Mohd Sharif, Exco Pendidikan dan Teknologi Negeri Melaka, YB Datuk Rais Datuk Wira Yasin dan Ketua Pengarah RISDA, Datuk Abdullah Zainal.
RISDA kata Mahdzir, memberi fokus kepada bidang pendidikan sejak 65 tahun lalu lagi dengan melalui pelbagai evolusi selaras dengan perkembangan sistem pendidikan dan keperluan tenaga kerja dalam sektor pertanian negara khususnya perladangan getah.
Bermula dengan Sekolah Latihan Getah pada tahun 1957, RISDA kini mempunyai Kolej Universiti Agrosains Malaysia atau UCAM yang merupakan satu-satunya Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), khusus dalam bidang pertanian.
“Saya difahamkan UCAM setakat ini telah berjaya melahirkan lebih daripada 10 ribu orang graduan yang bukan hanya berkhidmat di dalam agensi pertanian dan perladangan kerajaan serta swasta, malah tidak kurangnya ada juga yang kini bergelar usahawan dan jutawan.”
Sementara itu pada majlis yang sama, Mahdzir turut menyaksikan Majlis Pertukaran Dokumen Memorandum Persefahaman antara pihak UCAM dan tiga rakan industri iaitu GrasiCili Plt, Uwais Cendawan Agrotech Enterprise dan Bitara Emas (M) Sdn. Bhd.
MOU itu berkaitan program latihan industri dan penempatan kerja graduan UCAM, latihan profesional, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta kerjasama komersial.