SHAH ALAM, 19 OGOS 2022- Gabungan dua program bimbingan anjuran Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) berjaya melonjakkan hasil jualan berjumlah RM907 ribu serta 30 pekerjaan baharu selepas tamat program yang diadakan secara komprehensif selama 4 bulan. Peningkatan hasil jualan tersebut dicipta oleh 107 usahawan yang telah tamat menjalankan program INSKEN Bumiputera Business Coaching (IBBC) dan Consumer Intelligence Programme (CIP).

Penyumbang kepada peningkatan hasil jualan ini terbahagi kepada dua, iaitu RM 644 ribu daripada 83 usahawan Program IBBC manakala baki RM263 ribu adalah daripada 24 usahawan yang menyertai Program CIP. Secara keseluruhan, 57% daripada jumlah peserta kedua-dua program ini berjaya mecapai KPI program yang ditetapkan iaitu peningkatan hasil jualan minimum sebanyak 20%.

Menurut Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Yang Berhormat Tan Sri Noh bin Haji Omar, beliau menggesa agar lebih ramai usahawan mendapatkan bimbingan daripada INSKEN kerana kemahiran serta pengetahuan yang dimiliki pakar industri juga diperlukan untuk memajukan sesebuah perniagaan. Tambahnya lagi, usahawan tidak boleh menjadikan pakar industri atau mentor ini sebagai pesaing mereka malah ia adalah peluang untuk meluaskan jaringan perniagaan.

83 peserta Program IBBC yang telah tamat bimbingan secara one-on-one selama 4 bulan merupakan usahawan daripada industri Postnatal Care, Spa dan Homestay. Peningkatan jualan tertinggi sebanyak 64% telah dicatat oleh Puan Nur Dinie Aqilah binti Roseman yang menjalankan perniagaan Mawar Jelita Spa. Menurut beliau, pelbagai ilmu serta strategi yang dipelajari di dalam Program IBBC ini telah dilaksanakan dan membuahkan hasil positif. Antaranya adalah dengan menawarkan rawatan premium, menaik taraf sistem khidmat pelanggan serta merangka semula Business Model Canvas (BMC).

Manakala CIP merupakan program bimbingan selama 3 bulan yang memfokuskan kepada analisis tingkah laku pengguna melalui data bagi memastikan pemasaran dibuat dengan tepat serta dapat meningkatkan potensi penjualan produk. Encik Helmi bin Najib yang menjalankan perniagaan dalam industri reka bina rumah telah berjaya mencatatkan 49.69% peningkatan jualan sekaligus menjadikan beliau sebagai peserta terbaik untuk program ini. Menurutnya, pelbagai kos dapat dikurangkan selepas mengikuti program CIP apabila sudah mempunyai sasaran serta pelanggan yang lebih tepat.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif INSKEN, Encik Muhd Firdaus bin Azharuddin, program bimbingan INSKEN bukan sahaja direka khas untuk usahawan yang telah menjalankan perniagaan. Malah, INSKEN turut melaksanakan program bimbingan untuk usahawan permulaan yang juga memerlukan bantuan daripada pakar dalam memastikan mereka dapat menerokai teknik serta amalan terbaik industri dan sekaligus meningkatkan skor diagnostik di akhir program.

Puan Anis binti Mahadi merupakan salah seorang daripada 20 peserta Program INSKEN Start-Up Coaching yang telah mencatat peningkatan skor diagnostik tertinggi iaitu sebanyak 26% dan menjadikan jumlah jualannya melonjak daripada empat angka kepada lima angka. Beliau yang menjalankan perniagaan dalam industri bakeri berkata, program bimbingan selama 6 bulan itu banyak memberi perubahan kepada perniagaannya terutama selepas mewujudkan Business Model Canvas (BMC).

Kesemua 127 usahawan yang tamat mengikuti program bimbingan anjuran INSKEN ini telah diraikan di Majlis Graduasi Program Bimbingan INSKEN bersempena dengan Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (JAKM), dan dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, YB Tan Sri Noh bin Haji Omar hari ini di sekitar Shah Alam. Sehingga Julai 2022, INSKEN telah melaksanakan 10 Program IBBC, 1 Program CIP dan 3 Program Start-Up Coaching. Maklumat lanjut mengenai program latihan dan bimbingan boleh didapati melalui laman web rasmi INSKEN di www.insken.gov.my dan media sosial rasmi INSKEN.

Leave a Reply