KUALA LUMPUR, 19 Mei 2025 – Kejohanan Sepaktakraw Piala Asia 2025 melabuhkan tirainya semalam dengan kejayaan berganda buat negara, baik dari segi penganjuran mahupun prestasi pasukan negara. Malaysia yang menjadi tuan rumah bagi edisi sulung kejohanan ini menerima pujian atas kelancaran acara yang berlangsung dari 9 hingga 18 Mei di Stadium Titiwangsa.

Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Dato’ Mohd Sumali Bin Reduan, dalam satu kenyataan media hari ini, merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan kejohanan tersebut.

“Kejohanan ini menyaksikan penyertaan pasukan-pasukan terbaik dari seluruh Asia, dan Malaysia berbangga menjadi tuan rumah bagi edisi pertama. Sambutan hangat peminat serta kelancaran acara membuktikan keupayaan negara dalam menganjurkan kejohanan bertaraf antarabangsa,” katanya.

Dalam kejohanan ini, skuad negara berjaya mencapai sasaran mara ke empat final daripada keseluruhan acara yang dipertandingkan. Malaysia membawa pulang dua pingat emas dan dua perak – pencapaian membanggakan yang menandakan perkembangan positif sukan sepaktakraw negara.

Walaupun skuad negara tewas kepada Thailand dalam perlawanan akhir bagi acara regu berpasukan, semangat juang dan prestasi tinggi yang dipamerkan memberikan harapan cerah buat masa depan.

PSM turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Belia dan Sukan, YB Hannah Yeoh, serta agensi-agensi terlibat seperti KBS, MSN, ISN dan rakan strategik seperti Telekom Malaysia, Astro, Puma, FGV, Dsaji, Mara Liner serta semua penaja atas sokongan padu terhadap kejohanan ini.

“Kejayaan ini tidak akan terlaksana tanpa kerjasama erat antara semua pihak – daripada ASTAF, penaja, sukarelawan, hinggalah peminat sukan. Kami di PSM komited untuk terus memartabatkan sukan sepaktakraw, bukan sahaja di Malaysia, malah di peringkat antarabangsa,” ujar Dato’ Mohd Sumali lagi.

#SepaktakrawAsia2025 #MalaysiaBoleh #SukanAsia #PialaAsiaSepaktakraw #PasukanMalaysia #SukanUntukNegara #SepaktakrawMalaysia #KejohananAntarabangsa #KamiJuara #BanggaBersama

Leave a Reply