
KUALA LUMPUR, 19 Mei 2025 – Telekom Malaysia Berhad (TM), selaku Rakan Rasmi Pasukan Sepak Takraw Kebangsaan, mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada pasukan kebangsaan atas pencapaian membanggakan mereka dalam Kejohanan Piala Asia Sepaktakraw ASTAF 2025 yang berlangsung di Stadium Tertutup Titiwangsa, Kuala Lumpur.
Pasukan negara berjaya menggondol dua daripada empat kejuaraan utama dalam kejohanan tersebut, iaitu dalam acara Regu dan Kuadran. Kejayaan ini sekali gus menyerlahkan kekuatan dan keunggulan atlet tempatan dalam sukan tradisional yang semakin mendapat perhatian di peringkat serantau.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Amar Huzaimi Md Deris, melahirkan rasa bangga terhadap prestasi pasukan sepak takraw kebangsaan. “Kami amat berbangga dengan pasukan sepak takraw negara atas aksi mantap sepanjang kejohanan ini. Ia bukan sahaja daripada segi bakat, tetapi juga ketabahan dan semangat berpasukan – nilai-nilai yang turut kami junjung tinggi di TM,” ujar beliau.
Tambahnya, pencapaian ini juga menjadi motivasi penting dalam usaha TM menyokong pembangunan sukan negara, selaras dengan peranan syarikat sebagai pembina negara.
Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Dato’ Mohd Sumali Reduan turut menzahirkan penghargaan kepada TM atas sokongan berterusan terhadap pasukan kebangsaan. “Kejayaan ini mencerminkan usaha gigih, disiplin dan semangat juang atlet kita. TM telah memainkan peranan penting dalam menyemarakkan semangat dan keyakinan pasukan untuk terus melangkah ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.
TM juga berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia atas sokongan padu yang diberikan, yang menjadi pembakar semangat utama kepada para atlet.
Melalui kerjasama ini, TM terus memperkukuh komitmennya dalam memperkasa sukan tanah air sambil memupuk perpaduan dan mencipta impak positif kepada masyarakat melalui inisiatif yang melangkaui dunia teknologi.
#TMforMalaysia #SepakTakrawMalaysia #ASTAF2025 #PahlawanTakraw #SukanTradisiBangsa #TMbangga #KebanggaanNegara #PowerofUnity #SokongLokal #ChampionSpirit