KUALA LUMPUR, 28 Mei 2025 – Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli hari ini mengumumkan peletakan jawatan beliau daripada Jemaah Menteri, yang akan berkuat kuasa mulai 17 Jun 2025. Beliau memaklumkan bahawa mulai hari ini, beliau akan menghabiskan baki cuti tahunannya sehingga tarikh akhir tersebut.

Dalam satu kenyataan media rasmi, Rafizi menyatakan bahawa keputusan untuk meletakkan jawatan dibuat susulan kekalahannya dalam pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) baru-baru ini, yang menurutnya, bermakna beliau tidak lagi mempunyai mandat parti untuk terus menterjemahkan agenda rakyat ke dalam dasar kerajaan.

“Seperti mana amalan di negara-negara yang menitikberatkan prinsip demokrasi, pemimpin yang kalah dalam pemilihan parti perlu memberi laluan kepada pemimpin yang menang untuk mengambil tempat dalam kerajaan,” jelas beliau.

Rafizi turut mengambil kesempatan untuk merakamkan penghargaan kepada kepimpinan dan kakitangan Kementerian Ekonomi atas kerjasama dan dedikasi mereka sepanjang tempoh perkhidmatannya. Beliau memuji kecekapan penjawat awam dan yakin bahawa dasar-dasar yang telah dirangka akan diteruskan dengan jayanya.

Antara pencapaian utama beliau yang dinyatakan dalam kenyataan tersebut adalah pemuktamadan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), yang menurutnya memberi tumpuan kepada reformasi menyeluruh dalam sektor pendidikan. Beliau berharap agar Jemaah Menteri akan meneruskan reformasi berani tersebut walaupun beliau tidak lagi berada dalam kerajaan.

Mengakhiri kenyataan, Rafizi menekankan pentingnya membuat keputusan berani untuk jangka panjang demi kebaikan negara.

“Perjalanan kita untuk merubah struktur ekonomi negara menjadi lebih kukuh dan mencapai status negara berpendapatan tinggi adalah masih jauh. Oleh itu, kita wajar terus mengambil keputusan yang baik untuk jangka panjang, walaupun keputusan itu sukar dan berliku, demi generasi masa hadapan.”

Peletakan jawatan ini mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat dan pemerhati politik, yang kini menantikan siapakah yang akan menggantikan beliau sebagai Menteri Ekonomi dalam waktu terdekat.

#RafiziRamli #PeletakanJawatan #MenteriEkonomi #RMK13 #PolitikMalaysia #ReformasiEkonomi #MandatRakyat#KementerianEkonomi #DemokrasiMatang #BeraniBerubah

Leave a Reply