KUALA LUMPUR, 28 Mei 2025 – Dua anak Malaysia, pelakon terkenal Amar Baharin dan penjelajah Grand Slam, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin (Datuk Qobin), kini berada di fasa akhir pengembaraan luar biasa mereka dalam misi Journey to Tanah Haram.

Setelah menempuh ribuan kilometer merentasi pelbagai negara menggunakan basikal, pengangkutan darat dan udara, pasangan sahabat ini kini berada di Qassim, dan dijangka menamatkan perjalanan mereka ke Madinah dalam tempoh 3 hingga 4 hari lagi.

“Cuaca sangat mencabar, mencecah sehingga 51°C, ditambah pula dengan angin kuat dari hadapan. Tapi setiap kali kami hampir rebah, pasti muncul insan yang Allah kirimkan untuk bantu,” kongsi Amar ketika dihubungi.

Antara ‘keajaiban’ sepanjang perjalanan termasuk tayar pancit yang sering berlaku di lokasi strategik – berdekatan bengkel atau kawasan rehat. “Macam dah diatur Tuhan. Kami juga sering diberi minuman, makanan, malah kadangkala wang oleh orang yang tidak dikenali,” tambahnya.

Lebih menyentuh hati, mereka menerima sambutan luar biasa daripada rakyat Malaysia di luar negara – dari UAE hingga Arab Saudi, yang menawarkan tempat penginapan dan layanan seperti saudara sendiri. “Perbelanjaan kami setakat ini tak sampai RM12,000 pun. Ramai bantu tanpa diminta. Allah Maha Penyayang,” kata Amar lagi.

Perjalanan yang asalnya dirancang melalui India dan Pakistan terpaksa diubah kerana konflik bersenjata. “Seminggu sebelum berlepas dari Bangkok, Kedutaan Malaysia menasihatkan kami agar mengelak dua negara itu. Kami akur. Inilah realiti kembara – kita merancang, tapi Allah yang menentukan,” jelas Datuk Qobin.

Misi ini bukan ekspedisi rasmi atau cubaan mencipta rekod. Ia lahir dari niat dua sahabat untuk sampai ke Tanah Suci dengan jalan darat dan dana sendiri. Bermula dari Padang Besar, melalui Bangkok, Iran, UAE, mereka kini hampir menamatkan misi di Madinah sekitar 31 Mei atau 1 Jun 2025.

“Doa dan sokongan kalian di media sosial menjadi kekuatan kami. Saya sendiri alami kekejangan badan akibat cuaca ekstrem dan perlu berehat dua malam di Qassim,” ujar Datuk Qobin.

Sebuah dokumentari dijanjikan selepas mereka pulang – sebagai catatan hidup tentang iman, ketabahan, dan betapa luasnya rahmat Allah dalam perjalanan seorang musafir.

Ikuti perkembangan mereka di Instagram: @amarbaharin dan @dqobin

#JourneyToTanahHaram #AmarQobinKeMadinah #KembaraJiwa #PengembaraanIman #MusafirKeTanahSuci #DariPadangBesarKeMadinah #BerbasikalKeMadinah #KisahMusafir #PengorbananDanKeajaiban #DoakanKamiSelamat

Leave a Reply