KUALA LUMPUR, 30 Mei 2025 – Ketua UMNO Bahagian Batu merangkap Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim menyuarakan kebimbangan terhadap langkah kerajaan memperkenalkan tong LPG ungu bersubsidi bersasar kepada peniaga dan penjaja kecil bermula 1 Mei lalu.

Menurutnya, pengenalan tong ungu berharga RM70 untuk 14kg, berbanding harga asal RM27, merupakan satu tamparan hebat buat pengusaha kecil yang sudah pun terhimpit dengan kos operasi yang tinggi. Langkah ini dilihat menambahkan lagi beban kepada golongan marhaen yang sebelum ini turut terkesan dengan penarikan subsidi diesel dan pelaksanaan sistem e-Invois.

“Perit buat pengusaha, penjaja dan peniaga kecil yang terpaksa menanggung kos yang tinggi untuk barangan jualan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Datuk Gulam turut mengingatkan bahawa langkah-langkah kerajaan ini akan mencetuskan efek domino, di mana kos operasi yang meningkat akan ‘dipindahkan’ kepada pengguna, sekaligus meningkatkan kos sara hidup rakyat secara menyeluruh.

Beliau turut membidas kerajaan kerana gagal mengurus fiskal negara secara efisien tanpa membebankan rakyat. Penarikan subsidi demi subsidi, katanya, memberi gambaran bahawa strategi fiskal kerajaan tidak membawa kesan positif kepada ekonomi rakyat terbanyak.

“Poket rakyat mengempis dan perut rakyat makin dijerut,” katanya tegas.

Mengulas lanjut, beliau turut membandingkan situasi semasa dengan zaman pentadbiran terdahulu, khususnya ketika pelaksanaan GST oleh kerajaan Barisan Nasional di bawah kepimpinan Dato’ Sri Najib Tun Razak, yang menurutnya lebih tersusun dan memberikan manfaat jangka panjang kepada ekonomi negara.

“Jika GST boleh berikan kebaikan kepada negara dan rakyat, kerajaan jangan segan silu laksanakan kembali,” tambahnya, sambil mengkritik formula-formula ekonomi yang dibawa oleh Menteri Ekonomi sekarang, YB Rafizi Ramli, sebagai tidak berjaya dan “lari malam”.

Kenyataan ini dijangka menarik perhatian pelbagai pihak, terutama peniaga kecil dan rakyat biasa yang kini berdepan dengan tekanan kewangan akibat dasar-dasar kerajaan yang dilihat membebankan.

#TongUngu #SubsidiLPG #RakyatTersepit #PeniagaKecil #KosSaraHidup #GSTKembali #UMNOWP #DasarEkonomi #SuaraRakyat #FiskalNegara

Leave a Reply