KUALA LUMPUR, 31 Mei 2025 – UMNO Selangor hari ini menyatakan pendirian berhubung peletakan jawatan YB Senator Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam parti serta hasrat beliau untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Selangor, Datuk Wira Abdul Mutalif bin Abdul Rahim, dalam satu kenyataan tegas berkata bahawa UMNO Selangor sudah menjangkakan langkah tersebut berdasarkan perkembangan dalaman semasa.
“Kami tidak akan berkompromi dalam soal kesetiaan dan keikhlasan terhadap perjuangan parti. Perletakan jawatan beliau adalah keputusan peribadi yang kami hormati, tetapi bukan sesuatu yang mengejutkan,” ujar beliau.
Datuk Wira Abdul Mutalif turut menekankan bahawa kekuatan UMNO tidak bersandarkan kepada seorang individu semata-mata, sebaliknya terletak kepada akar umbi serta prinsip perjuangan yang tidak boleh dikompromi.
“UMNO telah melalui pelbagai fasa cabaran dan pengkhianatan, namun tetap utuh kerana asas perjuangannya adalah kukuh dan tidak bersifat peribadi,” tambah beliau.
Menurutnya lagi, tindakan menyertai parti lain secara tiba-tiba, terutamanya ketika masih memegang jawatan atas tiket UMNO, bukan sahaja mencemarkan semangat setiakawan dalam Kerajaan Perpaduan, malah boleh menimbulkan ketegangan dalam kalangan penyokong.
“UMNO Selangor menyeru semua parti komponen Kerajaan Perpaduan agar lebih beretika dan bertanggungjawab dalam menjaga keharmonian politik serta tidak mengamalkan budaya ‘memancing ahli’ sesama rakan gabungan,” tegasnya.
Beliau turut memberi jaminan bahawa UMNO Selangor akan terus memperkukuhkan saf kepimpinan, termasuk di Bahagian Kota Raja, dan kekal fokus terhadap agenda membela rakyat tanpa terperangkap dalam ‘drama politik’ individu.
“Kami akan terus mara dengan semangat baharu demi agama, bangsa dan tanah air. UMNO bukan milik satu nama. Ia milik jutaan jiwa,” katanya mengakhiri kenyataan.

#UMNOSelangor #TengkuZafrul #PolitikMalaysia #UMNOBangkit #KerajaanPerpaduan #UMNOTegas #SetiakawanPolitik #AgendaRakyat #PerjuanganUMNO #UMNOBukanMilikSatuNama