
KUALA LUMPUR, 31 Mei 2025 – Kenyataan panas Ketua UMNO Bahagian Batu merangkap Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim, menggegarkan landskap politik tanah air hari ini apabila beliau mengkritik keras tindakan YB Senator Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang didakwa mengkhianati perjuangan parti demi kepentingan peribadi.
Datuk Gulam Muszaffar menyifatkan perletakan jawatan Tengku Zafrul sebagai sesuatu yang dijangka namun memalukan, sambil melabelkan pendekatan politik bekas Menteri itu sebagai “politik bohjan dan bohsia”. Tegas beliau, tindakan Tengku Zafrul yang didakwa sanggup “menjual diri” kepada pemimpin dari pelbagai parti seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY), Datuk Seri Ismail Sabri (DSIS), dan kini Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX), demi kelangsungan politik, menunjukkan ketandusan integriti dan prinsip.
Dalam kenyataan penuh beremosi, beliau turut mempertikaikan pelantikan Zafrul sebagai Menteri sebelum ini yang menurutnya berlaku atas dasar lantikan politik meskipun tewas dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), sedangkan calon lain yang lebih senior dalam parti seperti Datuk Seri Johari Ghani lebih layak diberi peluang.
Datuk Gulam Muszaffar turut menggesa Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (DSZH) agar mempertahankan hak dan kuota Menteri UMNO dalam Kerajaan Perpaduan. Beliau menegaskan bahawa Tengku Zafrul telah hilang “locus standi” sebagai ahli UMNO dan mendesak agar semua Menteri UMNO memulaukan mesyuarat Kabinet sekiranya Zafrul masih dikekalkan dalam jawatan.
Mengakhiri kenyataannya dengan nada sinis dan tegas, beliau menyamakan tindakan Zafrul sebagai membawa “penyakit” ke dalam parti dan menyifatkan pemergiannya ke PKR sebagai satu “rahmat” kepada UMNO.
Kenyataan itu menandakan ketegangan dalaman yang semakin memuncak dalam kalangan kepimpinan UMNO, sekaligus menimbulkan persoalan mengenai masa depan hubungan parti itu dalam kerajaan campuran.
#Zafrul #PolitikMalaysia #UMNOWP #BoikotKabinet #UMNOvsPKR #KerajaanPerpaduan #PRU15 #KrisisPolitik #ZafrulKeluarUMNO #UMNOMarah