PPIM Gesa Netizen Berhenti Kecam…

https://vt.tiktok.com/ZSkyo5WTt
KUALA LUMPUR, 9 Jun 2025 – Isu pampers yang tular melibatkan seorang penerima asnaf, Puan Puteri, telah mendapat perhatian segera daripada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP). Hari ini, wakil pembekal MAIWP, Encik Zaidi, tampil menggantikan pampers jenis ‘tape’ yang tidak sesuai kepada jenis seluar (pants) seperti yang dimohon sebelum ini.

“Kami mohon maaf atas kesilapan yang berlaku. Hari ini, pertukaran pampers telah dilakukan dan pihak MAIWP juga telah mengemaskini sistem,” ujar Encik Zaidi mewakili pembekal lantikan MAIWP.
Puan Puteri, seorang ibu yang baru bersalin dan mempunyai anak istimewa berumur 11 tahun, sebelum ini meluahkan ketidakselesaan mengenai jenis lampin tape yang diberikan, yang mudah dibuka oleh anaknya dan menyebabkan masalah kebersihan di rumah. Beliau bukan menolak bantuan, sebaliknya menegaskan keperluan sebenar anaknya.
Turut hadir memberi sokongan ialah Kak Jan dari Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), yang menegur komen melampau netizen dan menyeru agar lebih peka serta berhati-hati dalam menyebarkan komen negatif di media sosial.
“Puteri bukan bercakap untuk diri sendiri sahaja. Beliau mewakili ramai asnaf yang senasib. Netizen perlu bijak menilai dan tidak menjatuhkan hukum tanpa menyelidik,” tegas Kak Jan.
Dalam sidang media tersebut, Kak Jan juga menyentuh tentang kelewatan sistem dan birokrasi bantuan, menyeru pihak pengurusan MAIWP serta institusi zakat lain agar lebih cakna dan turun padang untuk memahami keperluan sebenar rakyat.
Puan Puteri dalam nada sebak menyatakan penghargaan kepada MAIWP atas pelbagai bantuan yang telah diterima. “Saya bukan tidak bersyukur. Anak saya istimewa, tidak sesuai dengan pampers tape. Saya mohon pampers pants untuk keselesaan dan kebersihan. Saya sangat bersyukur atas segala bantuan, hanya memohon yang terbaik untuk anak,” ujarnya.
Kes ini menjadi cerminan betapa pentingnya komunikasi dua hala yang jelas antara agensi bantuan dan penerima. Isu teknikal seperti jenis pampers boleh memberi kesan besar kepada kehidupan seharian asnaf, apatah lagi dalam keadaan kesihatan yang mencabar.
MAIWP diharap akan meneruskan usaha penambahbaikan sistem serta khidmat pelanggan demi memastikan kebajikan asnaf terus terbela.
#MAIWP #PPIM #Asnaf #IsuPampers #SuaraRakyat #KisahBenar #BantuanZakat #KebajikanAsnaf #NetizenBijak #JanganKecam