KUALA LUMPUR, 11 Jun 2025 – Prosiding pengurusan kes bagi perbicaraan jenayah SRC 2.0 yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berlangsung pagi ini di Mahkamah Tinggi Jenayah 2, Tingkat 5 Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur.
Menurut peguambela, Tan Sri Shafee Abdullah, mahkamah menetapkan tarikh 20 Jun 2025 bagi keputusan sama ada kes tersebut akan diberikan discharge not amounting to acquittal (DNAA) atau diteruskan dengan penetapan tarikh perbicaraan.
“Kes ini telah beberapa kali ditunda atas permintaan pihak pendakwaan sejak 2019. Setelah mengambil kira hujahan kedua-dua pihak hari ini, hakim berpendapat beliau memerlukan sekurang-kurangnya seminggu untuk membuat keputusan,” kata Tan Sri Shafee kepada media selepas prosiding.
Beliau turut menjelaskan bahawa keputusan hari ini amat penting kerana walaupun kes telah berlarutan lebih enam tahun, tiada perbicaraan sebenar yang dimulakan. Justeru, pihak pembelaan mencadangkan agar DNAA diberikan, sambil membuka ruang untuk pendakwaan memulakan semula kes sekiranya mereka sudah bersedia kelak.
Selain itu, pada hari yang sama, mahkamah turut membenarkan permohonan order to produce untuk mengemukakan Datuk Seri Najib ke mahkamah esok berhubung satu lagi kes pengurusan berkaitan isu contempt of court susulan permohonan addendum yang kini menjadi subjek rayuan di Mahkamah Persekutuan.
Tan Sri Shafee turut memaklumkan bahawa Peguam Negara telah menolak representasi yang dikemukakan oleh pihak pembelaan sejak Julai 2023 untuk menggugurkan pertuduhan berkaitan kes jenayah SRC 2.0.
Kes ini berbeza dengan kes sivil SRC 2 dan perlu dilihat secara berasingan.
#SRC2.0 #NajibRazak #MahkamahTinggi #KesNajib #ShafeeAbdullah #DNAA #KeadilanUntukNajib #PendakwaanSRC #AddendumCase #PerbicaraanNajib