
RAWANG, 11 Jun 2025 – Sebuah kilang pengeluaran bahan pencuci pakaian di Rawang digempur pihak berkuasa selepas disyaki menjalankan aktiviti pengeluaran produk tiruan menggunakan cap dagangan tanpa kebenaran.
Dalam operasi bersepadu yang dilaksanakan sekitar jam 2.00 petang tadi, seramai 10 anggota penguat kuasa daripada Pejabat KPDN Gombak bersama wakil pemilik cap dagangan telah menyertai Operasi GEMPUR di bawah inisiatif Perlindungan Harta Intelek.

Premis kilang yang menjadi sasaran dipercayai telah menghasilkan detergen menggunakan cap dagang berdaftar secara haram. Hasil serbuan, sebanyak 2,120 botol detergen telah dirampas, dengan nilai anggaran keseluruhan mencecah RM29,680.00.
Menurut Ketua Pegawai Penguat Kuasa Negeri Selangor, Mohd Hanizam bin Kechek, kesemua barangan telah disita untuk siasatan lanjut.
“Individu yang didapati bersalah boleh dikenakan denda sehingga RM10,000 bagi setiap barangan atau penjara maksimum 3 tahun atau kedua-duanya sekali. Manakala bagi syarikat, denda boleh mencecah RM15,000 bagi setiap barangan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Beliau turut menegaskan komitmen berterusan KPDN Selangor dalam membanteras kegiatan pelanggaran harta intelek dan menyeru masyarakat untuk turut serta dalam Gerakan Massa KITA GEMPUR bagi melaporkan sebarang salah laku melalui:
WhatsApp: 019-848 8000
Talian: 03-8882 6088 / 6245
Portal: e-aduan.kpdn
Aplikasi: Ez-Adu KPDN
Tindakan tegas seperti ini adalah penting bagi melindungi hak pengguna dan memastikan pasaran domestik tidak dicemari barangan tiruan yang boleh mengelirukan serta membahayakan keselamatan.
#KPDNSelangor#KitaGempur #BaranganTiruan #OperasiGempur #LindungiPengguna #CapDagangBerdaftar #HartaIntelek #RampasanDetergen #GerakanMassa #KPDNMalaysia