KUALA LUMPUR, 18 Jun 2025 – Ketua UMNO Bahagian Batu Wilayah Persekutuan, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim mencadangkan agar dua kementerian utama yang ditubuhkan selepas pelantikan Perdana Menteri YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim dibubarkan, susulan perletakan jawatan dua menteri kanan – YB Rafizi Ramli dan YB Nik Nazmi Nik Ahmad.
Menurut beliau, Kementerian Ekonomi (KE) dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (KSAKA) tidak perlu digantikan dengan tokoh baru memandangkan keadaan fiskal negara yang sedang dibebani hutang serta komitmen PMX untuk mengurangkan saiz kabinet.
“Bubarkan sahaja KE dan KSAKA. Serap portfolio KE ke dalam Kementerian Kewangan dan KSAKA ke dalam kementerian di bawah YAB TPM2 Datuk Seri Fadillah Yusof. Habis cerita!”, tegas beliau.
Datuk Gulam turut mengingatkan bahawa KE asalnya merupakan Unit Perancang Ekonomi (UPE) di bawah Jabatan Perdana Menteri, manakala KSAKA adalah pecahan daripada kementerian asal yang melibatkan alam sekitar dan perubahan iklim.
Beliau turut menyindir tindakan kerajaan yang dilihat seolah-olah merayu agar dua tokoh tersebut menarik balik keputusan untuk meletakkan jawatan, walaupun kedua-duanya telah menyatakan pendirian tegas dan prinsip politik masing-masing selepas tewas dalam pemilihan parti.
“Apa yang perlu diharapkan lagi? Orang yang sudah tidak berminat dan berpegang kepada janji sepatutnya dihormati keputusannya,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau turut mempersoalkan keperluan untuk melantik muka baharu daripada parti PKR seperti Nurul Izzah Anwar atau R. Ramanan ke jawatan menteri sekiranya portfolio tersebut tidak dimansuhkan.
“Perlu ke? Dan adakah mereka mempunyai kredibiliti yang cukup untuk galas tanggungjawab berat itu?”, soalnya.
Beliau mengakhiri kenyataan dengan menyeru supaya kerajaan mengambil peluang ini untuk mengurangkan kos pentadbiran serta mengelakkan perebutan kuasa dalam kalangan pelobi politik.
“Cadangan saya ini bersifat menyelamatkan wang negara dan mengekang perebutan kuasa. Apa pandangan sahabat?”, katanya sambil menyertakan pautan video janji PMX sebelum PRU15 berhubung saiz kabinet.
#ReformasiKabinet #BubarKEKSAKA #SelamatkanEkonomi #RafiziNikNazmi #KerajaanBerhemat #JanjiPRU15 #SaizKabinet #NurulIzzah #PolitikMalaysia #UMNOBersuara