HULU LANGAT, 22 Ogos 2022 -SME Corp. Malaysia, sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), yang bekerjasama dengan MIDF sebagai agensi pelaksana, telah mengagihkan pinjaman di bawah Dana Kecemasan PKS (SMEEF) 2.0 bagi membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang terkesan akibat bencana alam di seluruh negara. Dana ini menyediakan pembiayaan pinjaman modal kerja tanpa faedah serta moratorium selama setahun kepada semua PKS.

Pada 22 Ogos 2022, satu Majlis Penyerahan Dana Kecemasan PKS (SMEEF) 2.0 kepada PKS terjejas banjir di Hulu Langat telah diadakan di Insitut Kemahiran Tinggi Belia Negara Dusun Tua, Hulu Langat.

YB Tan Sri Noh Omar, Menteri KUSKOP, memaklumkan bahawa Program SMEEF di bawah SME Corp. Malaysia sebagai agensi peneraju dan MIDF, iaitu sebagai Agensi pelaksana, adalah khusus bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana melalui pinjaman berjumlah RM50,000.00 sehingga RM100,000.00. Dana ini dilihat dapat membantu PKS bangkit semula serta memulihkan kembali perniagaan Keluarga Usahawan yang terkesan oleh bencana banjir secepat mungkin.

Di dalam Majlis yang sama, YBrs. Encik Rizal bin Nainy, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, menyatakan bahawa sehingga 18 Ogos 2022, program SMEEF 2.0 ini telah menerima sebanyak 1,212 permohonan dari seluruh negara berjumlah RM113,205,000.00 yang telahpun melebihi peruntukan dana sebanyak RM100 juta.

Menurut beliau, khusus bagi Negeri Selangor sahaja, jumlah syarikat yang telah diluluskan permohonan adalah sebanyak 700 syarikat dengan nilai peruntukan sebanyak RM67.61 juta.

Majlis Penyerahan Dana Kecemasan PKS (SMEEF) 2.0 bagi Parlimen Hulu Langat merupakan program ketiga selepas Majlis Penyerahan di Parlimen Kota Raja dan Parlimen Shah Alam.

Tambah Rizal, sebanyak 126 syarikat diluluskan permohonan di bawah Parlimen Hulu Langat dengan nilai sejumlah RM11.78 juta. Turut hadir pada majlis ini ialah YBhg. Datuk Haji Johan Abdul Aziz, Pengerusi Majlis Pembangunan Usahawan dan Koperasi Parlimen Hulu Langat serta YBrs. Encik Azizi Hj Mustafa, Ketua Divisyen Kewangan Pembangunan, MIDF.

Leave a Reply