KUALA LUMPUR – Selepas kejayaan filem seram Islamik Khong Khaek yang mencetuskan fenomena di Thailand dan turut meraih sambutan hangat ketika ditayangkan di Malaysia tahun lalu, syarikat produksi Monwichit Entertainment kini tampil dengan naskhah terbaharu berjudul Isan Nikah.

Berbeza daripada karya sebelumnya, filem ini menampilkan genre komedi dengan suntikan elemen Islamik yang unik dan jarang diketengahkan dalam industri perfileman Thailand.

Diarahkan oleh Kriangkrai Monwichit, Isan Nikah membawa penonton menyelusuri sebuah kisah perkahwinan antara dua insan berlainan agama dan budaya iaitu seorang gadis Muslim dengan kekasihnya, seorang jejaka beragama Buddha yang akhirnya memeluk Islam.

Namun, perjalanan cinta mereka bukanlah mudah apabila abang kepada gadis berkenaan berusaha sedaya upaya untuk menggagalkan penyatuan itu dan mencetuskan pelbagai insiden lucu serta mencuit hati.

Menurut Kriangkrai, filem ini bukan sekadar hiburan semata-mata, malah turut menjadi wadah untuk memperkenalkan budaya masyarakat Islam di selatan Thailand yang jarang diberi tumpuan.

Isan Nikah adalah sebuah filem yang menarik untuk ditonton kerana ia mengangkat tema perkahwinan campur dari sudut yang jarang dipaparkan, diolah dalam bentuk komedi yang menghiburkan namun penuh mesej,” katanya.

Tambahnya, latar filem ini turut mencerminkan suasana kampung halamannya sendiri, termasuk sejarah, tempat pelancongan, makanan tradisional dan bahasa tempatan yang menyuntik keaslian dalam penceritaan.

Isan Nikah dibintangi barisan pelakon popular Thailand antaranya Nattawut Sanyabut, Chatchai Chinnasri, Kamonporn Sangwatcharasoontorn, Adull Borsu serta personaliti media sosial terkenal, Amadkuciasree Doloh @ Chalee.

Filem ini bakal menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia bermula esok, 17 Julai 2025 dan diedarkan oleh Empire Film Solution Sdn. Bhd.

Sementara itu, Pengarah Urusan Empire Film Solution, Mohamad Zubir Badar Shair berkata, pihaknya tertarik untuk membawa masuk filem ini ke pasaran Malaysia kerana keunikan jalan ceritanya yang menggabungkan komedi, budaya dan nilai-nilai Islamik dalam satu karya.

“Selama ini penonton Malaysia sudah biasa dengan filem-filem seram dari Thailand.

“Kami merasakan sudah tiba masanya untuk mengetengahkan filem yang lebih santai dan menghiburkan, tetapi dalam masa yang sama membawa mesej yang mendalam. Isan Nikah memenuhi kriteria itu,” katanya.

Zubir berkata, pihaknya berharap filem ini menerima sambutan hangat daripada penonton tempatan dan membuka ruang kepada lebih banyak filem bercorak Islamik dan komedi dari Thailand untuk menembusi pasaran Malaysia pada masa hadapan.

Dengan gabungan elemen humor, budaya dan isu sosial yang relevan, Isan Nikah dijangka mampu mencuri perhatian penonton dan memberikan pengalaman tontonan yang berbeza namun bermakna.

By Cynthia

Leave a Reply