KUALA LUMPUR – Kehadiran Joy menerusi konsert solo sulungnya, 2026 Joy Asia Tour (JOY SPLASH) di Zepp Kuala Lumpur pada 25 April lalu nyata mencetuskan fenomena tersendiri apabila berjaya menghimpunkan lebih 1,500 peminat setianya, ReVeluvs, dalam suasana penuh emosi dan kehangatan.
Bertepatan dengan konsep “percikan kegembiraan” yang dibawakan, konsert tersebut bukan sekadar persembahan hiburan semata-mata, sebaliknya menjadi platform pertemuan intim antara artis dan peminat yang sekian lama menantikan kehadiran bintang itu ke Malaysia.
Malam penuh magis itu dimulakan dengan lagu Hello, sekali gus membuka tirai “pesta percikan cinta” yang memukau hadirin. Sepanjang persembahan, Joy atau nama sebenarnya Park Soo-young tampil konsisten mempamerkan vokal mantap menerusi lagu-lagu seperti Je T’aime dan La Vie En Bleu, sebelum menghangatkan suasana dengan deretan lagu runut bunyi drama Korea termasuk Introduce Me a Good Person, My Lips Like Warm Coffee, Yeowooya dan Shiny Boy.
Sorakan peminat semakin memuncak apabila Joy menyapa mesra ReVeluvs sambil meluahkan rasa rindu yang mendalam.

“Saya sangat merindui anda semua. Sangat hebat dapat berkumpul dan bertemu kembali seperti ini,” katanya yang disambut dengan jeritan kegembiraan peminat.
Tidak hanya memukau dari segi vokal, Joy turut menghidupkan pentas dengan persembahan tarian bertenaga menerusi lagu-lagu popular kumpulannya Red Velvet seperti Red Flavor, Feel My Rhythm dan Peek-a-Boo, sekali gus mengubat kerinduan peminat terhadap persembahan berkumpulan mereka.
Salah satu momen paling menyentuh hati malam itu tercipta apabila seorang peminat berkongsi kisah peribadi melalui sepucuk surat yang dibacakan di hadapan Joy.
Peminat mengakui bahawa karya penyanyi itu membantunya menghadapi masalah kebimbangan (anxiety) dan memberi rasa ‘selamat’.
Pengakuan itu jelas menyentuh perasaan Joy, sekali gus mengukuhkan hubungan emosional antara artis dan peminat.

Konsert turut diserikan dengan segmen interaktif yang dinanti-nantikan, termasuk persembahan acapella lagu Ice Cream Cake yang menyaksikan ‘kolaborasi’ spontan antara Joy dan peminat.
Selain itu, Joy turut mempersembahkan lagu Love Splash, Day by Day, Happy Birthday to You dan Scent of Green, menjadikan keseluruhan pengalaman konsert lebih bermakna.
Interaksi dua hala terus menjadi kekuatan utama konsert apabila Joy turut meluangkan masa bermain permainan teka lukisan bersama peminat, sekali gus memperlihatkan sisi peribadinya yang mesra dan dekat dengan ReVeluvs.
Mengakhiri malam penuh kenangan itu, Joy meluahkan rasa syukur dan kegembiraannya.
“Saya sangat gembira hari ini, terima kasih banyak. Melihat anda semua berkongsi momen manis dan menikmati Joy Splash membuatkan saya yakin ini keputusan yang tepat,” katanya.
Konsert diakhiri dengan segmen encore yang menampilkan lagu-lagu ikonik Red Velvet seperti Zimzalabim, You Better Know dan Hello, sekali gus meninggalkan kenangan manis buat semua yang hadir.

Dalam kalangan peminat, keterujaan jelas terpancar apabila rata-rata menyifatkan persembahan tersebut sebagai pengalaman yang memuaskan.
Seorang peminat dikenali sebagai Wani, 30, mengakui Joy merupakan ‘cinta pertamanya’ sejak mengenali penyanyi itu menerusi program realiti We Got Married.
Seorang lagi peminat pula memuji personaliti Joy yang disifatkan menarik dan penuh karisma.
Sebelum ini, anggota Red Velvet lain turut mengadakan persembahan di Malaysia termasuk Irene dan Seulgi menerusi BALANCE World Tour di Mega Star Arena serta Wendy dengan jelajah W: EALIVE di lokasi sama.
Rentetan itu, ramai peminat kini memasang impian untuk melihat Red Velvet kembali bersatu di pentas Malaysia selepas masing-masing menamatkan aktiviti solo mereka.