SERI KEMBANGAN – Industri perfileman tempatan terus menampilkan karya berteraskan realiti semasa menerusi pelancaran filem terbaharu terbitan Key Billions Sdn. Bhd. berjudul Tiket Sehala.
Filem arahan Rahila Ali ini mengetengahkan isu sindiket penipuan tawaran kerja di luar negara yang semakin membimbangkan dan memberi kesan besar kepada mangsa, termasuk rakyat Malaysia sendiri.
Mengangkat inspirasi daripada kisah benar, Tiket Sehala dipersembahkan sebagai sebuah karya yang sarat dengan mesej kemanusiaan dan tanggungjawab sosial.
Rahila berkata, filem ini dihasilkan bukan sekadar untuk hiburan, sebaliknya sebagai peringatan kepada masyarakat tentang risiko sebenar di sebalik tawaran pekerjaan luar negara yang kelihatan lumayan.
“Penceritaan yang dipaparkan cuba menyelami emosi dan penderitaan mangsa agar penonton dapat memahami implikasi yang perlu ditanggung apabila terperangkap dalam sindiket itu,” katanya.

Filem ini menampilkan gabungan pelakon berpengalaman dan bakat baharu tanah air seperti Noki K-Clique, Jaa Suzuran, Ainee Mustafa, Zaki Yamani, Sharifah Sakinah, Hasnul Rahmat, Sheila Mambo, Ardell Aryana, Fancy Goh serta Shaharudin Jamaludin.
Kehadiran barisan pelakon ini memperkukuhkan lagi kekuatan naratif yang dibawakan.
Lebih menarik, Tiket Sehala turut membabitkan pelakon dari empat negara iaitu Malaysia, Korea Selatan, Thailand dan Indonesia.
Antara yang terlibat ialah Hyunjun Sun, Ninja dari kumpulan SuperThai dan Naufal Samudra.
Kolaborasi rentas negara ini bukan sahaja memberikan sentuhan antarabangsa kepada filem berkenaan, malah membuka ruang kerjasama industri kreatif antara negara serantau.
Dari sudut penceritaan, Tiket Sehala membawa penonton menelusuri perjalanan tiga watak utama, Alif, Putri dan Taqy, yang menjadi mangsa sindiket pemerdagangan manusia di Korea Selatan.

Mereka terperangkap dalam sistem eksploitasi yang kejam selepas terpedaya dengan janji pekerjaan dan kehidupan yang lebih baik.
Konflik demi konflik yang dipaparkan memperlihatkan betapa mudahnya seseorang individu menjadi mangsa apabila berdepan tekanan hidup dan kekangan ekonomi.
Filem ini turut menjalani penggambaran di Korea Selatan dengan penglibatan kru produksi dari Malaysia dan negara berkenaan.
Menurut Pengasas Key Billions Sdn. Bhd., Eddie Yap, kerjasama ini memberi peluang kepada kru tempatan untuk menimba pengalaman serta mempelajari pendekatan kerja produksi antarabangsa.
Beliau optimis bahawa pendedahan tersebut mampu meningkatkan standard dan kualiti filem Malaysia pada masa akan datang.

Dalam majlis pelancarannya, suasana turut dimeriahkan dengan persembahan robot futuristik kendalian Shadow Combat League, sebuah platform hiburan sukan baharu yang menggabungkan elemen sukan tempur, teknologi dan permainan digital berasaskan rangkaian blockchain.
Penampilan istimewa itu menambah elemen unik serta moden pada acara berkenaan.
Pada masa sama, Key Billions mengumumkan penubuhan cabang pengedaran sendiri, Key Billions Distribution, sebagai langkah strategik memperkukuh kedudukan dalam rantaian industri perfileman.
Jika sebelum ini filem Soloz: Game Of Life diedarkan oleh pihak lain, namun bagi Tiket Sehala, semua urusan pengedaran dan promosi akan dikendalikan sepenuhnya oleh syarikat tersebut.

Selain itu, Key Billions Distribution turut memperoleh hak pengedaran bagi filem Gayong 2 dan Tarung Unforgiven yang bakal ditayangkan di pawagam dalam masa terdekat.
Langkah ini mencerminkan kesungguhan syarikat dalam memperluas jaringan dan memperkasakan ekosistem pengedaran filem tempatan serta antarabangsa.
Tiket Sehala dilihat sebagai sebuah naskhah berani yang bukan sahaja menawarkan elemen dramatik dan aksi, malah membawa mesej kesedaran sosial yang signifikan.
Dengan gabungan kisah benar, pelakon antarabangsa dan pendekatan produksi profesional, filem ini berpotensi menjadi antara karya tempatan yang meninggalkan impak mendalam kepada penonton serta menyumbang kepada perkembangan industri perfileman Malaysia.