KUALA LUMPUR, 31 Julai 2025 –
FELDA terus melakar sejarah baharu dalam transformasi industri perladangan negara apabila merasmikan Seminar Jawatankuasa Peneroka Peringkat Kebangsaan (JPPK) FELDA 2025 dan pelancaran E-Nota Hantaran ‘Sawitku Mendunia’, bertempat di MITEC, Kuala Lumpur sempena Karnival Mega 3 Dimensi (MK3D) 2025.

Bertemakan “FELDA Mendunia, Warisan Dicipta, Era Baharu Dibina”, acara ini mencerminkan iltizam FELDA dalam memperkukuh amalan lestari, mengangkat piawaian pengurusan hasil sawit ke tahap global, serta mendigitalkan urus niaga melalui pelaksanaan sistem e-Nota Hantaran, yang menggantikan rekod fizikal terdahulu.

Majlis penuh bermakna ini telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek, Pengerusi FELDA, dengan kehadiran barisan kepimpinan tertinggi FELDA termasuk Dato’ Dr. Suzana Idayu Wati Osman (Pengarah Besar FELDA), Encik Fakhrunniam Othman (CEO Kumpulan FGV), Tuan Haji Sulong Jamil Mohamed Shariff (Ahli Lembaga FELDA merangkap Ketua Peneroka FELDA Kebangsaan) serta wakil agensi berkaitan.

Pelbagai anugerah pengiktirafan turut disampaikan kepada individu dan entiti cemerlang termasuk:

Anugerah Pekerja Produktif
Anugerah Wilayah Produktif – FELDA Wilayah Trolak
Anugerah Ladang Getah Lestari – FELDA Teloi Kanan, Wilayah Alor Setar
Anugerah Ladang Sawit Lestari JPPK – FELDA Tenggaroh 07, Wilayah Johor Bahru
Anugerah Pengurusan Kilang Lestari – Kilang Sawit Chiku, Wilayah Gua Musang
Penghargaan Khas – Fajar Task Force atas kejayaan pelan strategik FELDA

Dalam ucapannya, Dato’ Sri Ahmad Shabery menegaskan bahawa kejayaan FELDA harus selari dengan kemajuan warganya, khususnya golongan peneroka, dalam menghadapi cabaran global. “Apa yang terbaik untuk FELDA adalah yang terbaik untuk warganya,” tegas beliau.

Majlis ini turut menyaksikan penghargaan FELDA kepada kerjasama erat dengan pelbagai agensi dan syarikat utama industri sawit seperti MPOA, MPOB, MSPO, FELCRA, RISDA, LGM, serta pemain swasta seperti Sime Darby Plantation, IOI Plantation, HAP SENG, United Plantation dan lainnya.

Acara gilang-gemilang ini membuktikan bahawa FELDA bukan sekadar mewarisi kejayaan, tetapi juga bersedia mengemudi masa depan yang lebih lestari dan digital demi kelangsungan komuniti peneroka dan negara.

#FELDA2025 #SawitkuMendunia #JPPK2025 #EraBaharuFELDA #PendigitalanSawit #AnakFELDA #TransformasiFELDA #LadangLestari #KebanggaanPeneroka #FELDAKeArahGlobal

Leave a Reply