
KUALA LUMPUR, 30 Julai 2025 — Gerakan Kuasa Rakyat Malaysia (G57) hari ini tampil membuat laporan polis serta laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) terhadap dua portal media tempatan yang didakwa menyebarkan berita palsu dan fitnah berhubung kelulusan lesen carigali mineral oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.
Pengerusi G57, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, walaupun pihaknya amat menyanjung tinggi prinsip kebebasan media, namun penyebaran maklumat yang tidak berasaskan fakta serta berunsur fitnah tidak boleh dibiarkan.
“Kami tampil dengan berat hati, tetapi terpaksa, kerana portal ini bukan sahaja menyebarkan berita palsu yang memfitnah Datuk Seri Hajiji, malah dijadikan rujukan oleh pemimpin parti pembangkang untuk menyerang beliau,” katanya pada sidang media selepas membuat laporan polis.
Portal berkenaan mendakwa bahawa Datuk Seri Hajiji telah meluluskan lesen carigali mineral kepada Datuk Seri Farhash Wafa Salvador, dakwaan yang disifatkan Zulkarnain sebagai fitnah jelik dan tidak berasas.
Menurut beliau, Jabatan Tanah dan Ukur (JTU) Negeri Sabah serta Sabah Mineral Management (SMM) sendiri telah mengeluarkan kenyataan rasmi menafikan sebarang kelulusan lesen tersebut. Malah, SMM telah menyatakan hasrat untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap portal terbabit.
“Datuk Seri Hajiji sebenarnya telah menolak sebanyak tiga kali sogokan RM5 juta daripada kartel yang cuba menguasai sektor perlombongan di Sabah. Beliau tidak tunduk, malah bertindak membatalkan lebih 10 lesen berkaitan. Ini adalah sebab sebenar beliau diserang dengan fitnah sedemikian rupa,” jelas beliau lagi.
Zulkarnain turut mendakwa wujud usaha tersusun oleh kartel tertentu dan beberapa pemimpin politik untuk menjatuhkan reputasi Ketua Menteri melalui penyebaran maklumat palsu, termasuk dakwaan melampau kononnya Ketua Pegawai Eksekutif SMM adalah “wanita simpanan” kepada Hajiji.
“Ini bukan sahaja cubaan mencemar nama baik seorang pemimpin, tetapi juga menghina institusi kewartawanan yang sepatutnya menjunjung etika dan integriti,” tegas Zulkarnain.
Tambahnya lagi, laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga telah dibuat berkenaan cubaan sogokan itu. Beliau menegaskan bahawa tiada sebarang kelulusan diberikan kepada mana-mana pihak termasuk Datuk Seri Farhash, dan tidak wujud sebarang transaksi atau habuan diterima oleh Hajiji.
“Kerajaan GRS dalam tempoh empat tahun telah membuktikan prestasi dengan rizab kewangan mencecah RM8 bilion serta menarik pelaburan RM6 bilion ke Sabah. Tiada asas untuk menyerang kerajaan dari sudut prestasi, maka mereka cipta fitnah seperti ini,” katanya.
G57 menegaskan akan terus membuat siri laporan polis dan tindakan sivil terhadap mana-mana pihak yang terus menyebar fitnah terhadap Datuk Seri Hajiji Noor demi mempertahankan kebenaran dan integriti pentadbiran Negeri Sabah.
#HajijiDifitnah #FitnahMineralSabah #G57BersamaHajiji #TolakKartel #SabahBermaruah #KebenaranAkanTerserlah #PortalFitnah #LawanFitnah #SabahUntukRakyat #IntegritiKetuaMenteri