KUALA LUMPUR, 31 Julai 2025 – Dalam suasana penuh penghayatan dan kesyukuran, Majlis Malam Mega Selawat sempena Hari Peneroka FELDA 2025 telah berlangsung dengan meriah dan penuh keberkatan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur.

Acara ini menjadi simbol penyatuan hati warga FELDA seluruh negara dalam memperkukuh ukhuwah Islamiah, mengangkat martabat pembangunan insan serta membudayakan nilai spiritual dalam kehidupan komuniti peneroka. Persembahan selawat dan qasidah oleh kumpulan nasyid ternama berjaya menghidupkan suasana penuh syahdu, mengajak hadirin untuk menzahirkan rasa cinta kepada Rasulullah SAW.


Dalam majlis yang turut menjadi platform menyantuni golongan memerlukan, beberapa institusi utama FELDA telah menyerahkan zakat korporat kepada Pusat Pungutan Zakat – MAIWP, antaranya:
Koperasi Permodalan FELDA (KPF) – RM1,772,947.76
Koperasi Generasi FELDA Baharu (KGFB) – RM1,727,951.03
KOGUNA – RM46,096.14
FELKOP – RM119,575.00
FGV Holdings Berhad – RM1,110,000.00



Dana ini akan digunakan untuk program Yasin bulanan di masjid-masjid terpilih dan ziarah kasih kepada golongan asnaf di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Wilayah Persekutuan.
Turut menjadi tumpuan ialah penyampaian dua unit van jenazah, masing-masing bernilai RM150,000 oleh FGV kepada:
Felda Triang 01, Wilayah Mempaga
Felda Sungai Retang, Wilayah Jengka
Dalam langkah memperluaskan perlindungan sosial untuk komuniti peneroka, FELDA turut melancarkan Inisiatif Takaful Berkat Afiyat, satu skim perlindungan berasaskan prinsip takaful untuk meningkatkan kesejahteraan dan daya tahan kewangan warga FELDA.
Majlis ini bukan sahaja memperkukuh agenda pembangunan holistik FELDA, bahkan mencerminkan kesungguhan agensi ini dalam mendepani cabaran semasa dengan pendekatan menyeluruh merangkumi aspek spiritual, ekonomi dan sosial.
FELDA turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang menjayakan majlis ini dan berharap sinergi ini akan terus dikekalkan dalam melestarikan komuniti peneroka ke arah masa depan yang sejahtera dan berimpak tinggi.
#MalamMegaSelawat #HariPenerokaFELDA2025 #FELDASejahtera #UkhuwahUmmah #SelawatCintaRasul #CSRZakatFELDA #GenerasiBaharuFELDA #TakafulBerkatAfiyat #FELDAHolistik #ZiarahKasihAsnaf