KUALA LUMPUR, 2 Ogos 2025Karnival Mega 3 Dimensi 2025 (MK3D 2025) yang berlangsung dari 30 Julai hingga 3 Ogos di MITEC Kuala Lumpur telah mencipta sejarah sebagai karnival keusahawanan terbesar di Malaysia, dengan pengiktirafan rasmi oleh Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai Largest Entrepreneurship Fair di negara ini.

KUALA LUMPUR, 2 Ogos — Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menghadiri pada Majlis Perasmian Mega Karnival 3 Dimensi 2025 di Malaysia International Trade and Exhibition Centre (MITEC) hari ini. –fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA

Karnival bersejarah ini menggabungkan tiga acara gergasi anjuran agensi kerajaan iaitu Karnival Usahawan Desa (KUD) oleh KKDW, Hari Peneroka FELDA oleh FELDA dan Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) oleh KUSKOP di bawah satu bumbung.

Dengan tema “Desaku Mendunia”, MK3D 2025 menjadi platform berimpak tinggi kepada lebih 1,000 usahawan tempatan yang mewakili pelbagai sektor dari seluruh negara. Penganjuran ini juga menzahirkan iltizam kerajaan dalam memperkukuh jaringan ekonomi luar bandar secara holistik, inklusif dan global.

Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Anwar bin Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, yang turut mengumumkan peruntukan melebihi RM680 juta khusus bagi memperkasakan FELDA dan komuniti peneroka. Antara inisiatif utama termasuk subsidi diesel untuk pengurusan ladang, projek perumahan generasi baharu, pembangunan infrastruktur, digitalisasi komuniti, pengurusan bencana, kebajikan petugas FELDA dan pembangunan belia.

Karnival ini turut mencatat nilai transaksi melebihi RM209 juta, meliputi jualan tunai, pembiayaan usahawan, padanan perniagaan dan potensi kerjasama strategik antara PMKS dan pemain industri besar. Malah, sejumlah RM500,000 kupon penggalak jualan turut diedarkan kepada pengunjung sebagai insentif meningkatkan pembelian dan menyokong usahawan tempatan.

MK3D 2025 turut menawarkan Program Jualan Murah Keluarga Usahawan dengan potongan harga antara 20% hingga 30% bagi produk keperluan harian, sekali gus membantu meringankan beban kos sara hidup rakyat.

Pelbagai aktiviti turut memeriahkan suasana karnival seperti seminar keusahawanan, sesi padanan perniagaan, demonstrasi produk, serta pameran teknologi dan inovasi tempatan yang memberi pendedahan kepada peserta dan pelawat.

Secara keseluruhan, MK3D 2025 bukan sahaja memperkasa ekonomi luar bandar, malah mengangkat martabat desa ke peringkat global – menjadikan komuniti peneroka, usahawan desa dan industri tempatan sebagai nadi utama pembangunan negara.

#MK3D2025.#DesakuMendunia #HariPenerokaFELDA.#UsahawanDesa #FELDAMendunia #EkonomiLuarBandar #PMKSMalaysia.#KarnivalUsahawan.#JualanMurahFELDA #MalaysiaBookOfRecords

Leave a Reply