Oplus_16908288

KUALA LUMPUR – Persatuan Teksi Malaysia menggesa pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan kerajaan mengambil tindakan segera terhadap masalah kereta sapu yang kian berleluasa di ibu negara, khususnya di kawasan Jalan Silang yang dikatakan dikuasai oleh pemandu warga asing.

Presidennya, En. Kamaruddin Mohd Hussain berkata isu ini bukanlah perkara baharu, sebaliknya sudah berlarutan puluhan tahun, namun semakin parah sejak kemunculan perkhidmatan e-hailing.

Menurut beliau, kelemahan penguatkuasaan menyebabkan pemandu teksi semakin hilang keyakinan terhadap JPJ, malah ada dalam kalangan pemandu teksi sendiri terpaksa menjadi kereta sapu kerana melihat aktiviti itu bebas tanpa tindakan.

“Saya beritahu terus terang, saya hampir hilang kepercayaan kepada JPJ. Banyak kali kami buat laporan, hantar video bukti, tapi tiada tindakan. Jangan tunggu sampai bergaduh, viral, baru nak turun,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan sikap wakil rakyat yang gagal membela nasib pemandu teksi sejak awal kemunculan e-hailing, malah kerajaan ketika itu memberi insentif RM5,000 walaupun perkhidmatan tersebut belum sah dari segi undang-undang.

Sementara itu, Penolong Setiausaha Teksi Malaysia, En. Izam mendedahkan bahawa beliau sendiri pernah merakam video kegiatan kereta sapu warga asing di kawasan berkenaan dan menularkannya sehingga akhirnya pihak berkuasa turun membuat pemantauan.

“Kalau saya seorang pun boleh kesan sampai 100 kes sebulan, takkan JPJ yang ada unit risikan, pegawai, kursus semua tak boleh buat? Jangan tunggu laporan kami senyap macam simbah air ke daun keladi,” katanya.

En. Kamaruddin turut merayu agar kerajaan mewujudkan harga lantai tambang bagi melindungi pendapatan pemandu teksi dan e-hailing daripada dimanipulasi syarikat pengendali.

Katanya lagi, JPJ perlu mengubah pendekatan operasi dengan membuat penyamaran, tidak turun dengan kenderaan rasmi dan tidak memakai uniform bagi mengekang kegiatan kereta sapu.

“Kami minta operasi besar-besaran. Kalau ada ahli kami sendiri terlibat bawa kereta sapu, kami janji tak akan buat rayuan. Kami mahu semua patuh undang-undang,” tegas beliau.

Isu ini dijangka terus hangat diperkatakan kerana ia melibatkan periuk nasi ribuan pemandu teksi di seluruh negara yang mendakwa semakin terhimpit dek persaingan tidak adil dengan e-hailing serta pemandu warga asing.

#TeksiMalaysia #KeretaSapu #JPJ #PemanduTeksi #Ehaling    

Leave a Reply

google.com, pub-1350607744479823, DIRECT, f08c47fec0942f