KUALA LUMPUR – Ketua UMNO Cawangan Presint Jasa, Dr. Norman Sapar, menolak sebarang kemungkinan untuk menghidupkan kembali kerjasama politik antara UMNO dan PAS menerusi konsep Muafakat Nasional 2.0.
Menurut beliau, sebarang usaha ke arah penyatuan itu bukan datang daripada UMNO, sebaliknya digerakkan oleh pihak luar seperti PAS dan BERSATU yang kini berdepan perpecahan dalaman.
“Saya rasa segala usaha ke arah itu adalah usaha oleh pihak luar, bukan di kalangan UMNO sendiri. Mungkin pihak BERSATU atau PAS yang sedang cuba menghidupkan kembali muafakat itu,” katanya.
Dr. Norman turut menegaskan bahawa UMNO kini sudah cukup “serik” untuk kembali bekerjasama dengan PAS selepas pengalaman lalu yang dianggap mengecewakan.
“Kita jujur, UMNO ikhlas hulurkan tangan, tapi bukan sahaja disambut dengan cara tak baik — malah kita ditikam belakang. Ramai pemimpin UMNO dah sedar tentang hal ini,” katanya lagi.
Beliau menambah bahawa percubaan untuk menubuhkan semula Muafakat Nasional 2.0 dilihat sebagai helah politik terdesak oleh segelintir pemimpin BERSATU dan PAS yang kini kehilangan pengaruh serta perlu mencari ruang baharu bagi menyelamatkan kerjaya politik masing-masing.
“Sebahagian daripada pemimpin BERSATU yang berpecah ini perlu tempat berpaut. Jadi mereka utarakan idea ini supaya pada Pilihan Raya akan datang, mereka masih ada tempat untuk bertanding,” jelas beliau.
Kenyataan Dr. Norman ini memperkukuh pendirian bahawa UMNO kini lebih berhati-hati dalam sebarang bentuk kerjasama politik, selepas pengajaran pahit daripada episod Muafakat Nasional terdahulu.
#UMNO #PAS #BERSATU #MuafakatNasional #DrNormanSapar #PolitikMalaysia #UMNOMalaysia #PRU16 #PolitikTerkini #BeritaPutrajaya