KUALA LUMPUR, 31 Oktober 2025 – Ketua UMNO Bahagian Bangi, Dato’ Dr Mohd Zaidi Md Zain, mempersoalkan tindakan pendakwaan dalam kes melibatkan Dato’ Sri Najib Tun Razak, apabila keterangan berbentuk hearsay atau “dengar cakap” dilihat masih diterima pakai oleh mahkamah walaupun ia bertentangan dengan prinsip asas perundangan.
Menurut beliau, dalam kes lain seperti isu addendum, pihak pendakwa sendiri berhujah bahawa hearsay tidak boleh diterima kerana ia bukan bukti langsung daripada pihak yang terlibat. Namun, dalam kes Najib, prinsip yang sama seolah-olah diketepikan.
“Apabila pendakwa kata Datuk Seri Zahid tidak menerima perintah secara langsung daripada Tuanku, tapi melalui Tengku Zafrul, itu dianggap hearsay dan ditolak. Tapi bila melibatkan Bossku, hearsay boleh pula diterima. Ini pelik, ini ajaib, ini double standard,” tegasnya.
Beliau turut menjelaskan bahawa dalam perundangan, hearsay membawa risiko besar kerana ia boleh menyebabkan seseorang disabitkan berdasarkan maklumat tidak sahih yang diperoleh dari pihak ketiga atau keempat.
“Sepatutnya bila dah wujud hearsay, pihak pendakwa kena tarik balik kes. Mereka gagal bawa saksi utama — Jho Low. Kalau betul dakwaan penyalahgunaan kuasa itu, biar Najib berdepan sendiri dengan Jho Low. Tapi mereka tak berani,” ujarnya lagi.
Dr Zaidi menambah bahawa dakwaan terhadap Najib sebenarnya dibina atas “ciptaan” dan naratif pihak lain yang tidak berani tampil ke mahkamah.
“Kalau kita terima hearsay ni, esok lusa sesiapa pun boleh disabitkan hanya kerana ‘dengar cakap’. Itu bukan keadilan. Dalam sistem kehakiman, sesuatu tuduhan mesti dibuktikan beyond reasonable doubt, bukan atas cerita berlapis-lapis,” katanya.
Beliau menegaskan bahawa prinsip undang-undang mesti dijunjung tinggi tanpa mengira siapa yang dituduh.
“Kalau hukum dan sistem kita boleh dilentur ikut siapa yang dibicara, itu bukan keadilan. Itu penghinaan terhadap undang-undang dan mahkamah,” tambahnya.
Isu hearsay ini dijangka terus menjadi tumpuan dalam perbicaraan berkaitan Najib, terutama apabila wujud dakwaan bahawa keterangan tidak langsung dijadikan sandaran utama dalam hujahan pendakwaan.
#Hearsay #Bossku #KeadilanUntukNajib #DoubleStandard #DatoDrZaidi #UMNOBangi #MahkamahMalaysia #IsuNajib #KebenaranAkanTerserlah #AATVNews