KUALA LUMPUR, 2 November 2025 — Persidangan Agung Tahunan Parti PUTRA kali ke-6 tahun 2025 hari ini meluluskan 14 usul utama serta dua usul tergempar yang menyentuh isu-isu besar berkaitan reformasi institusi, keadilan sosial, serta kedaulatan negara.
Antara usul penting yang menarik perhatian ialah desakan agar Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diletakkan terus di bawah Parlimen, bagi menjamin ketelusan dan kebebasan badan pencegah rasuah itu daripada campur tangan politik. PUTRA turut menggesa pemisahan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya agar prinsip keadilan dapat ditegakkan tanpa pengaruh eksekutif.

Dalam ucapan dasar Presiden, parti itu juga mencadangkan penggubalan Akta Anti-Nepotisme dan Kronisme, serta pindaan tegas terhadap undang-undang rasuah termasuk hukuman sebat dan penjara mandatori kepada pesalah. PUTRA menekankan bahawa integriti kepimpinan negara hanya boleh dipulihkan melalui ketelusan dan tindakan tanpa kompromi terhadap penyalahgunaan kuasa.
PUTRA turut menuntut semakan semula 41 kes berprofil tinggi yang diklasifikasikan sebagai NFA atau KIV, agar keadilan dapat ditegakkan tanpa memilih bulu. Dalam masa sama, parti itu mencadangkan reformasi pelantikan Jawatankuasa Pemilihan Hakim supaya separuh keahliannya ditentukan oleh Majlis Raja-Raja Melayu, bagi menjamin kebebasan badan kehakiman.

Berkaitan pentadbiran negara, PUTRA menegaskan keperluan menyemak semula skim pencen dan imbuhan ahli politik, dengan cadangan pengurangan 30% daripada kadar semasa serta larangan individu yang disabit jenayah daripada bertanding dalam pilihan raya selama lima tahun.
Parti itu turut menolak Rang Undang-undang Perolehan Kerajaan 2025 dan Belanjawan 2026, yang disifatkan gagal menjamin ketelusan serta kebajikan rakyat marhaen. PUTRA juga menggesa pengukuhan Agenda Ekonomi Bumiputera dan menaikkan cukai perjudian ke tahap maksimum, dengan hasilnya disalurkan kepada pembangunan masyarakat bukan Bumiputera tanpa menjejaskan hak Bumiputera di bawah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.
Selain itu, PUTRA menuntut Mahkamah Syariah diperkasakan setara dengan Mahkamah Sivil, serta pelaksanaan Dasar Pelajaran Kebangsaan yang menegakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa utama pendidikan di semua sekolah.
Usul Tergempar
Persidangan turut meluluskan dua usul tergempar yang menarik perhatian ramai. Pertama, PUTRA mengutuk keras kehadiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Malaysia. Parti itu menuduh Trump sebagai “Bapa Iblis” kerana membekalkan senjata kepada rejim Zionis Israel yang menyebabkan kematian lebih 70,000 rakyat Palestin. PUTRA turut mengecam Perdana Menteri kerana meraikan Trump secara berlebihan dan menandatangani perjanjian perdagangan yang didakwa “menggadai maruah serta kedaulatan negara”.
Usul kedua pula mendesak agar UiTM dikembalikan kepada dasar asal sebagai institusi eksklusif Bumiputera yang menawarkan pendidikan percuma sepenuhnya, sejajar dengan semangat Fasal 153 Perlembagaan Persekutuan. PUTRA menegaskan bahawa pendidikan percuma di UiTM bukan tuntutan populis, tetapi hak perlembagaan bangsa Melayu dan Bumiputera yang mesti dipertahankan.
Persidangan kali ini memperlihatkan komitmen PUTRA untuk terus memperjuangkan agenda nasionalisme Melayu, reformasi institusi, dan keadilan sosial — dengan mesej jelas kepada kerajaan bahawa rakyat menuntut keberanian politik, bukan janji retorik.
#PUTRA2025 #ReformasiInstitusi #KeadilanUntukRakyat #SPRMParlimen #UiTMPercuma #TolakTrump #IntegritiNegara #AgendaBumiputera #BelanjawanAdil #KedaulatanMalaysia