Oleh Azrin Muhammad

ANAK keempat Datuk Seri Najib Razak, Nooryana Najwa berjanji meneruskan perjuangan menegakkan keadilan bersama-sama UMNO sehingga bapanya dapat kembali ke pangkuan keluarga.

Nooryana yang lebih mesra dengan panggilan Yana menyatakan hasrat berkenaan ketika berucap di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur sempena Taklimat Khas Presiden UMNO petang tadi.

“Selasa lalu, saya telah menanam janji kepada Daddy yang saya akan melakukan yang terbaik.

“Kita tidak akan berhenti berjuang dan tidak akan berhenti mencari keadilan sehingga Bossku kembali ke pangkuan kami.

“Dari mengemas barang, memotong misai Daddy di mahkamah semalam sehingga ke pentas besar UMNO hari ini, saya akan terus memegang erat tali leher pemberian Daddy seerat kata akhir Bossku sebelum dibawa ke Penjara Kajang untuk meneruskan perjuangan,” katanya.

Dalam masa sama, Yana sempat berkongsi keadaan keluarganya yang sedang berdukacita dengan keputusan mahkamah baru-baru ini.

Katanya, Najib yang sudah menjangkau usia 70 tahun tidak sepatutnya menghabiskan waktu-waktu akhir bersendirian di penjara.

“Keadaan di rumah tidak lagi sama. Kerusi kegemaran Daddy hanya kosong, Kiki (kucing peliharaan) juga sedang menunggu Daddy.

“Facebook Daddy juga tiada lagi posting daripada Bossku. Kali pertama dalam tempoh 46 tahun, Bossku tidak bersama-sama kita di dewan ini,” katanya.

Sebelum mengakhiri ucapan, Yana sempat membaca satu warkah tulisan Najib untuk tatapan ahli UMNO ketika di Penjara Kajang.

Leave a Reply