
KOTA KINABALU, 26 Nov 2025 — Menjelang detik penentuan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada 29 November ini, pemimpin dan jentera Barisan Nasional (BN) diseru agar terus memperkukuh kesepakatan serta bergerak lebih agresif dalam baki hari-hari terakhir kempen bagi memastikan kemenangan yang signifikan.
Menurut Dr Norman Sapar, rakyat Sabah semakin mendambakan sebuah kerajaan yang stabil, jujur dan mempunyai rekod perkhidmatan yang terbukti. Beliau menegaskan bahawa BN kekal dekat di hati rakyat Sabah kerana jasa serta pembangunan yang telah dibawa sejak negeri itu bersama Persekutuan Malaysia.

“Rakyat Sabah dah bosan dengan ketidakstabilan politik, propaganda yang penuh ilusi dan drama tuduh-menuduh yang tak berkesudahan. BN mungkin tidak sempurna, tetapi rekod perkhidmatannya jauh lebih konsisten berbanding kerajaan-kerajaan selepasnya,” katanya.
BN Punya Landasan Kuat untuk Kembali Teraju Sabah
Dalam konteks demografi pengundi, Dr Norman menekankan bahawa gelombang anak muda berusia 18 tahun ke atas menjadi faktor penentu. Dengan pengaruh besar media sosial, kaedah kempen moden perlu dikuasai sepenuhnya oleh calon dan jentera BN.

“Calon mesti agresif di media sosial. Perkenalkan diri, tunjukkan kebaikan yang autentik, bukan lakonan. Jangan burukkan lawan, jangan riak. Konsisten. Banyakkan hantaran. Inilah ‘permainan’ yang menentukan undi atas pagar,” jelasnya.
Beliau turut menyentuh tentang aura Bossku yang masih kuat di kawasan tertentu, khususnya PPR, selain mengingatkan rakyat bahawa projek mega Pan Borneo dicetuskan sejak era BN dan masih membawa kesan besar kepada pembangunan Sabah.
Kerajaan Perpaduan Sabah? BN Perlu Di Dalamnya
Menyentuh pembentukan kerajaan pasca-PRN, Dr Norman yakin sebuah kerajaan campuran atau perpaduan mungkin tidak dapat dielakkan. Namun kata beliau, penyertaan BN dalam kerajaan tersebut penting berdasarkan rekod kemampuan dan pengalaman mentadbir.
“Untuk berada dalam kerajaan Sabah, BN perlu menang sebanyak mungkin kerusi. Kesepakatan mesti bermula dari dalam parti – pemimpin perlu sehaluan, jentera perlu bergerak teratur dan bersungguh,” katanya.
“Radu Tatap Radu”: Seruan Menutup Kempen Dengan Tekad Maksimum
Dr Norman menggesa jentera BN di seluruh Sabah untuk berusaha lebih keras mengeluarkan pengundi tegar serta menarik sokongan anak muda sebelum tempoh kempen tamat.
“Ini bukan sekadar tentang kemenangan. Ini fasa penting untuk memulihkan kelangsungan BN Sabah. Keputusan PRN 17 akan menjadi bayangan kepada pilihan raya umum akan datang,” jelasnya sebelum menutup kenyataan dengan slogan penuh semangat:
“Radu tatap radu, radu sampai menang. BN bikin balik Sabah.”
#PRNSabah17 #BikinBalikSabah #BNSabah #RaduTatapRadu #SabahMajuJaya #SuaraOrangMuda #KestabilanUntukSabah #DemiRakyatSabah #TeamBN #AATVNews